PAS tidak tuntut ketuai kerjasama dengan Umno, kata Hadi


Mohd Farhan Darwis Sheridan Mahavera

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya terbuka jika ada pihak ketiga selain Umno dan PAS untuk mengetuai kerjasama asalkan ia berasaskan kepimpinan Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Jun, 2019.

PAS tidak akan menuntut untuk mengetuai kerjasama politik dengan Umno, walaupun beberapa perwakilan sayap Pemuda dan Ulama menggesa parti Islam itu memimpin kerjasama tersebut.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang malah terbuka kalau ada pihak ketiga selain daripada Umno dan PAS yang akan mengetuai kerjasama tersebut, asalkan ia berasaskan kepada kepimpinan Islam.

“PAS tidak menuntut kecuali orang minta kita ke hadapan (jadi ketua). Kita sebut kepimpinan Islam, bukan Umno, atau PAS (sahaja boleh jadi ketua)... boleh jadi pihak ketiga.

“Politik ini fleksibel,” kata Hadi pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS ke-65, di Kuantan, Pahang, hari ini.

Ketika muktamar Pemuda PAS semalam, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kedah Nasrun Othman menggesa PAS memimpin kerjasama itu agar memberikan manfaat kepada PAS.

Pada sidang medianya, Hadi turut mengakui masih terdapat ahli PAS dan Umno yang fobia antara satu sama lain, namun beliau yakin isu itu akan dapat diatasi.

“Berhati-hati itu perkara biasa, dalam PAS ada Umno fobia, dalam Umno pun ada PAS fobia.

“Itu keterangan masa lalu yang boleh diselesaikan. Kita sebagai Islam ada moral kita, utamakan ummah dahulu,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Marang juga mengakui terdapat halangan pada peringkat awal kerjasama, namun berjaya diselesaikan.

“Pada peringkat awal ada, perasaan perbezaan lama berlaku, itu kita dapat selesaikan.

“Orang Memali pun dapat terima Umno, kerana kepentingan nasional mengatasi kepentingan peribadi,” kata Hadi lagi.

PAS dan Umno sedang memuktamadkan kerjasama politik yang bentuknya sedang dibincangkan pada peringkat jawatankuasa bersama parti sejak awal Mac lalu. – 21 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen