Tanzania berdepan cabaran laksana larangan guna beg plastik


KERAJAAN Tanzania mengakui negara itu berdepan cabaran apabila menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik, termasuk kekurangan beg alternatif, lapor agensi berita Xinhua.

Setiausaha Tetap di Pejabat Naib Presiden, Joseph Malongo berkata kekurangan beg alternatif mengakibatkan kenaikan harga beg yang ada di pasaran disebabkan permintaan tinggi.

Beliau berkata kerajaan telah berbincang dengan pengeluar beg alternatif dan memberikan jaminan kepada pengilang bahawa terdapat pasaran bagi produk keluaran mereka susulan larangan terbabit. 

“Terdapat maklum balas positif daripada orang ramai terhadap larangan itu, namun masih ada beberapa cabaran perlu diatasi bagi memastikan langkah terbabit benar-benar berjaya,” kata Malongo pada sidang media di ibu kota Dodoma pada Khamis.

Katanya, antara cabaran lain ialah kesedaran orang ramai mengenai spesifikasi beg plastik yang dibenarkan dan cara menggunakannya.

Menurutnya, Majlis Pengurusan Alam Sekitar Kebangsaan akan menjalankan pemeriksaan di seluruh negara, bagi memastikan tiada penggunaan beg plastik yang tidak memenuhi kriteria ditetapkan. 

Dalam ucapan belanjawannya di Parlimen pada April, Perdana Menteri Kassim Majaliwa mengumumkan larangan pengeluaran, pengimportan, penjualan atau penggunaan beg plastik berkuat kuasa 1 Jun 2019.

Tanzania menyertai negara lain di Afrika, yang turut sama mengharamkan atau memperkenalkan levi beg plastik untuk mengawal dan seterusnya menghapuskan penggunaannya.

Langkah itu turut menerima pujian daripada World Wide Fund for Nature (WWF), sebuah organisasi pemuliharaan global terkemuka.

WWF dalam satu kenyataan pada April mengatakan penggunaan plastik di Afrika dilaporkan telah mengakibatkan pencemaran di darat dan laut. – Bernama, 21 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen