PAS tetapkan syarat bagi pakatan dengan Umno


Sheridan Mahavera Mohd Farhan Darwis

Syarat dinyatakan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya semasa pembukaan Muktamar Ke-65 parti itu di Kuantan, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Jun, 2019.

PAS hari ini menetapkan lima syarat bagi kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk Umno.

Pada masa sama, parti itu menggesa masyarakat bukan Islam menolak parti politik cauvinis yang “tidak bersyukur” dan “menolak Islam”.

Syarat dinyatakan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya semasa pembukaan Muktamar Ke-65 parti itu di Kuantan, hari ini.

Dinamakan “Piagam Muafakat Politik”, dua syarat pertama menyebut sebarang kerjasama perlulah menguntungkan Islam, negara dan orang Melayu, serta harus mengutamakan perpaduan di kalangan masyarakat Islam.

Syarat lain yang terkandung dalam piagam tersbeut ialah:

  • Kerjasama yang mempertahankan perpaduan dalam masyarakat majmuk.
  • Kerjasama yang menunjukkan nilai akhlak dan integriti yang tinggi. 
  • Kerjasama yang saling menghormati, saling membantu dan tidak memusuhi. – 21 Jun, 2019.

PAS kini sedang berunding dengan Umno untuk membentuk pakatan pembangkang bagi melawan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Muktamar kali ini dijangka akan membahas dan menetapkan syarat perjanjian dengan Umno dan parti politik lain serta badan bukan kerajaan (NGO) yang sealiran dengannya.

Pemimpin tertinggi PAS menjangkakan pakatan yang terdiri daripada dua parti Melayu terbesar negara itu dapat menumbangkan kerajaan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Bagi mengelakkan rasa curiga dalam kalangan masyarakat bukan Islam, Hadi turut mengumumkan piagam yang menjamin hak mereka termasuk menghormati hak mengamalkan agama masing-masing.

Antara yang terkandung dalam piagam itu termasuklah.

  • Percaya bahawa Islam memerintahkan dalam hubungan bermasyarakat majmuk supaya melakukan kebijaksanaan dengan mendahulukan perdamaian dan persaudaraan, tanpa paksaan dalam perkara agama.
  • Islam mewajibkan pemerintah untuk bersikap adil kepada semua. – 21 Jun, 2019.

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen