PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong Un dan Presiden China Xi Jinping sepakat untuk mengukuhkan hubungan kedua-dua negara demi keamanan serta kestabilan serantau, lapor agensi berita Yonhap.
Memetik Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), kesepakatan itu dicapai pada sidang kemuncak di Pyongyang pada Khamis dan kedua-dua pemimpin saling bertukar pandangan berhubung isu antarabangsa dan serantau, termasuk situasi di Semenanjung Korea.
Kedua-dua pemimpin “menilai ia adalah selaras dengan kepentingan bersama kedua-dua negara untuk membangunkan keamanan dan kestabilan serantau, bagi memacu hubungan Korea Utara dan China dalam suasana semasa yang semakin kompleks dan mengalami perubahan yang ketara.”
Xi tiba di Pyongyang pada Khamis untuk mengadakan lawatan negara dua hari, dan merupakan julung kali pemimpin dari China melawat Korea Utara dalam tempoh 14 tahun.
Satu acara sambutan turut diadakan, sebaik Presiden China itu tiba di lapangan terbang Sunan.
Pada acara itu, Xi berkata beliau menyokong usaha strategik Korea Utara untuk menyelesaikan isu Semenanjung Korea menggunakan pendekatan politik.
Xi turut melawat ibu pejabat Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja dan mengadakan sesi bergambar dengan ahli politik. – Bernama, 21 Jun, 2019.
Komen