YouTube digesa tingkat perlindungan terhadap kanak-kanak


Kumpulan perlindungan pengguna dan kanak-kanak berkata aplikasi milik Google ini akan mengumpul maklumat pengguna muda dan pada masa yang sama, mereka bimbang kanak-kanak terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai. – Gambar EPA, 21 Jun, 2019.

BERJUTA kanak-kanak di seluruh dunia menggunakan aplikasi YouTube untuk menonton tutorial permainan video, rancangan televisyen dan mainan baharu di pasaran.

Namun, ini membimbangkan kumpulan perlindungan pengguna dan kanak-kanak, bahawa aplikasi milik Google ini akan mengumpul maklumat pengguna muda. Pada masa yang sama, mereka bimbang kanak-kanak terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai.

Menurut mereka, Google perlu membuat perubahan besar termasuk mengasingkan semua video untuk kanak-kanak ke dalam aplikasi YouTube Kids supaya ia mematuhi undang-undang di Amerika Syarikat (AS) dan negara lain.

“Kami berpendapat YouTube perlu menukar operasi mereka dalam segenap cara,” kata pengurus kempen di David Monahan Campaign for a Commercial-Free Childhood, salah satu kumpulan yang memfailkan aduan terhadap Google pada 2015 dan 2018.

“Model perniagan mereka adalah kanak-kanak terus menggunakan YouTube untuk mengumpul maklumat, mensasarkan mereka dengan iklan… dalam kebanyakan kes, mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan yang tidak sepatutnya.”

The Washington Post minggu ini melaporkan bahawa Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan AS kini berada dalam peringkat akhir dalam siasatan mengenai sama ada YouTube melindungi kanak-kanak daripada kandungan dalam talian yang berbahaya.

Siasatan boleh membawa hukuman denda dan lain-lain ke atas Google.

Menurut Pusat Penyelidikan Pew, 81% ibu bapa di AS yang mempunyai anak berusia 11 tahun dan ke bawah berkata anak mereka dibiarkan menonton video di YouTube.

Satu daripada tiga responden berkata anak mereka sentiasa menonton YouTube.

Google menegaskan bahawa laman utama YouTube dilarang untuk pengguna berusia bawah 13 tahun, dan disarankan supaya menggunakan aplikasi YouTube Kids.

Pengkritik berkata polisi Google itu tidak dikuatkuasakan secukupnya, di mana kanak-kanak dengan mudahnya boleh menggunakan akaun orang lain untuk memasuki laman utama.

Persoalan mengenai perlindungan terhadap pengguna dalam kalangan kanak-kanak merupakan antara cabaran yang dihadapi YouTube dan perkhidmatan dalam talian lain. Ini kerana mereka perlu kekal sebagai platform yang terbuka dan pada masa yang sama mengawal kandungan berbahaya termasuk keganasan, ucapan berbaur kebencian atau aktiviti menyalahi undang-undang. – AFP, 21 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen