KESATUAN Eropah (EU) kini mempunyai Agenda Strategik baharu untuk menetapkan keutamaan dan hala tuju bagi 2019-2024, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Donald Tusk, presiden Majlis Eropah pada Khamis menerusi akaun Twitter.
Tusk membuat pengumuman itu semasa perhimpunan musim panas pemimpin-pemimpin Eropah di Brussels, yang ditugaskan untuk menamakan presiden baharu Suruhanjaya Eropah, cabang pentadbiran EU.
Agenda itu, yang bertujuan membimbing usaha institusi-institusi EU dalam tempoh lima tahun akan datang, memfokus kepada empat keutamaan iaitu melindungi rakyat dan kebebasan; membangunkan pangkalan ekonomi yang kukuh dan bertenaga; membina iklim Eropah yang neutral, hijau, adil serta sosial dan mempromosi kepentingan serta nilai-nilai Eropah di pentas global. – Bernama, 21 Jun, 2019.
Komen