Apple bimbang tarif AS terhadap China 'makan diri'


APPLE memberi amaran kepada pentadbiran Amerika Syarikat (AS) bahawa tarif yang dicadangkan terhadap import China tidak produktif, mengatakan ia akan menjejaskan daya saing pengeluar iPhone dan memberi kelebihan kepada pesaing dari negara lain.

Dalam komen yang difailkan minggu ini kepada Wakil Perdagangan AS, Apple berkata cadangan tarif oleh Presiden Donald Trump akan memberi kesan kepada kemampuan Apple untuk bersaing dan juga akhirnya mengurangkan sumbangan gergasi teknologi itu kepada ekonomi AS dalam bentuk cukai dan pelaburan.

Komen Apple bertarikh 17 Jun menyatakan syarikat itu adalah pembayar cukai korporat AS terbesar dan bakal melabur kira-kira AS$350 bilion di negara ini selama lima tahun.

“Tarif AS ke atas produk Apple akan menyebabkan pengurangan sumbangan ekonomi AS,” kata syarikat itu.

Di samping itu, syarikat berkata pelan itu akan memberi kelebihan kepada daya saing global Apple dan secara efektif meningkatkan saingan terhadap China.

“Pengeluar China yang menjadi saingan di pasaran global tidak mempunyai kehadiran yang signifikan di pasaran AS, dan tidak akan terjejas dengan tarif AS,” kata surat itu.

AS sudah mempunyai 25% duti terhadap lebih AS$250 bilion import dari China.

Pasaran global bimbang dengan ancaman Trump untuk mengenakan tarif lebih tinggi kepada China, dengan tambahan AS$300 bilion nilai barangan.

Apple, yang menurut beberapa laporan sedang mempertimbangkan untuk memindahkan beberapa pengeluaran iPhone dan barangan lain dari China ke India atau negara lain, berkata senarai tarif yang dicadangkan “merangkumi semua produk utama Apple,” termasuk iPhone, iPad, Mac, AirPods dan AppleTV. – AFP, 21 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen