KETIKA PAS semakin hampir mewujudkan pakatan rasmi dengan Umno, ahli sayap ulamanya menyuarakan kebimbangan parti Islam itu mungkin dijangkiti rasuah dan sikap tamak yang wujud dalam bakal rakan kongsinya itu.
Justeru, Dewan Ulama mengulangi kenyataan sayap Pemuda bahawa PAS mestilah memimpin jika kedua-dua pihak bekerjasama.
Walaupun ulama PAS menyokong penuh ta’awun siyasi (kerjasama politik) dengan Umno, ia mahu para pemimpinnya menentukan nada dan terma perjanjian.
“Sudah mula dengar para ustaz yang kita sudah mula berbunyi seperti Umno. Hendak kejar kontrak sana sini. Kita perlu berhati-hati dengan Umno. Kita kena pastikan mereka ikut telunjuk kita berbanding kita yang mengikut dia,” kata Mohamad Nazrin Abdul Karim, perwakilan Dewan Ulama dari bahagian Petaling Jaya Utara di Selangor.
Dewan Ulama dianggap tulang belakang parti, kata ketua baru Dr Nik Zawawi Nik Salleh, dan apa yang dikatakannya biasanya berlaku dalam parti.
Sayap ulama semalam meluluskan resolusi parti untuk menjalin pakatan politik dengan Umno demi memperluaskan pengaruh PAS dan jenama Islamnya.
Resolusi itu juga menyeru garis panduan terperinci tentang apa yang diperlukan oleh kerjasama itu supaya hubungan dengan Umno dan mereka yang berfikiran seperti parti politik lain lebih jelas.
Resolusi untuk menjalin hubungan dengan Umno akan dibentangkan pada muktamar parti, badan pembuat keputusan tertinggi PAS.

Bagi perwakilan Kelantan, Yusof Hassan mengenai kerjasama dengan Umno, beliau memberi amaran kepada rakan parti supaya tidak leka ketika berdepan dengan musuh lama mereka.
Ini kerana Umno pernah mengkhianati parti itu pada 1970-an dengan mencetuskan undi tidak percaya semasa sidang dewan undangan negeri Kelantan dan meruntuhkan kerajaan negeri PAS.
Akibatnya, PAS, yang ketika itu merupakan sebahagian daripada Barisan Nasional yang diketuai oleh Umno, hilangan kekuasan terhadap Kelantan.
“Kita perlu berhati-hati dengan Umno, kerana ia pernah mengkhianati kita.
“Kita perlu ajar Umno untuk menerima perjuangan Islam kita sebelum bekerjasama dengan mereka,” kata Yusof. – 21 Jun, 2019.
Berita penuh di sini
Komen