Pasukan khas siasat kehilangan Koh, Amri diumum minggu depan, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, anggota pasukan petugas khas menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat akan diumumkan minggu depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Jun, 2019

ANGGOTA pasukan petugas khas menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat akan diumumkan minggu depan, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, selepas siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendapati mereka diculik pasukan polis.

Katanya, pasukan petugas khas yang dilantik itu akan diberi mandat enam bulan untuk membuat siasatan dan selepas itu membentangkan dapatannya kepada Jemaah Menteri.

“Dalam tempoh seminggu ini saya akan umumkan. Kalau mereka (pasukan) dah setuju dari tarikh itu maka dalam enam bulan itu siasatan perlu dilakukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di Serdang hari ini.

Muhyiddin menjelaskan pelantikan itu mengambil masa kerana ia perlu dibuat secara berhati- hati supaya tidak dilihat sebagai berat sebelah.

“Kita sudahpun senaraikan nama- nama siapa akan jadi anggota petugas. Kita nak tentukan mereka mesti orang yang tidak berat sebelah.

“Selain itu ada kelayakan diperlukan, supaya  nanti hasil laporan tak kata berat sebelah ke atau nak melindungi,” katanya.

Tambahnya, pasukan petugas khas itu akan memberi keutamaan kepada kes Amri dahulu memandangkan kes Koh kini dibawa ke mahkamah.

“Selepas selesai kes Pastor Koh dan mahkamah buat keputusan baru kita teruskan mengenai Pastor Koh.

“Kalau tak nanti jadi menghina mahkamah.  Itu perkara yang saya fikir anggota keluarga harus tahu,” katanya.

Minggu lepas isteri Koh, Suzanna Liew mempersoalkan mengapa sehingga kini belum ada sebarang maklumat  mengenai pasukan petugas itu selain pengumumam Muhyiddin pada 24 Mei lepas.

Liew juga berkata pasukan petugas itu patut dianggotai pegawai polis  yang tidak berat sebelah dan mempunyai wakil dari Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan kumpulan aktivis yang memantau secara dekat inkuiri Suhakam.

Pada Mei lalu, Suhakam membentangkan hasil inkuiri  kehilangan Koh dan Amri yang dikaitkan dengan polis cawangan khas di Bukit Aman. – 20 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen