PENDAKWAH kontroversi Zakir Naik tidak akan dihantar pulang selagi tidak ada permohonan ekstradisi dari India, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata setakat ini baik Kementerian Dalam Negeri mahupun Kementerian luar masih tidak menerima permohonan itu daripada kerajaan India.
“Kami belum terima apa- apa permohonan rasmi untuk ekstradisi (Zakir Naik)
“Selagi tak terima kita tak ambil apa- apa tindakan dan tidak akan buat sebarang keputusan lagi,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri di Serdang hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan mahkamah Akta Pencegahan Pengubahan Wang khas di India memerintahkan penceramah kontroversi, Zakir Naik tampil secara fizikal pada 31 Julai depan.
Memetik akhbar The Times of India mahkamah itu berkata satu waran tanpa ikat jamin akan dikeluarkan terhadap Zakir jika gagal menghadirkan diri.
Ahad lalu Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga berkata tidak ada keperluan untuk kerajaan Malaysia berbuat demikian jika tiada sebarang permohonan dari India.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sebelum ini berkata Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India. – 20 Jun, 2019
Komen