Pelajar di Pasir Gudang mungkin terdedah gas beracun, kata menteri


Noel Achariam

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad ketika bercakap pada sidang media yang diadakan di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Jun, 2019

KIRA-kira 15 pelajar sebuah sekolah agama di Pasir Gudang, Johor yang jatuh sakit hari ini mungkin terdedah dengan gas beracun, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, kementerian telah menghubungi pegawai mereka di sana untuk mendapatkan perkembangan lanjut berhubung isu itu.

“Kita sedang mengikuti kes ini. Berdasarkan simptom yang dialami mereka, berkemungkinan mereka terdedah dengan gas beracun. Ia mungkin sebatian yang tidak menentu,” katanya di Kementerian Kesihatan hari ini.

Kira-kira 15 pelajar dari Sekolah Mawar di Taman Mawar mengalami muntah-muntah dan sukar bernafas selepas didakwa terhidu gas beracun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Ibrahim Omar berkata, unit bantuan perkhidmatan kecemasan telah menghantar lima pelajar ke Hospital Sultan Ismail untuk menerima rawatan.

Insiden ini berlaku empat bulan selepas sekolah berhampiran Sg Kim Kim ditutup dan ratusan pelajar jatuh sakit.

Pembuangan bahan kimia secara haram ke dalam sungai menyebabkan hampir 6,000 orang, kebanyakannya pelajar sekolah jatuh sakit. Mereka dirawat kerana terhidu gas beracun.

Sebanyak 111 buah sekolah di Pasr Gudang diarahkan tutup. Ia kemudiannya dibuka semula selepas tamat cuti penggal pada 1 April.

Ditanya sama ada sekolah di sekitar kawasan terbabit akan dititup, Dr Dzulkefly berkata ia masih terlalu awal untuk dinyatakan.

“Saya perlu melihat kepada situasi dan tahap keracunan.

“Kita juga perlu melihat tahap pendedahan. Tetapi apa yang penting ialah Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana ada di sana.”

Dr Dzulekfly berkata, agensi yang berkenaan juga sudah dimaklumkan dan telah turun padang untuk mengatasi masalah itu. – 20 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen