oBike sedia bantu rakyat Malaysia kembali guna basikal


Low Han Shaun

BERMINAT untuk berbasikal pada bila-bila masa dan di mana sahaja dalam bandar dengan hanya beberapa sentuhan di paparan skrin telefon pintar anda? Dengan aplikasi oBike, penduduk di Lembah Klang boleh menyewa basikal untuk pelbagai tujuan, daripada memudahkan pergerakan ke stesyen keretapi sehinggalah berbasikal untuk riadah hujung minggu.

Dalam kota yang bergelut dengan masalah kesesakan lalu lintas, idea untuk oBike nampaknya meraih perhatian ramai sejak dilancarkan pada April tahun ini. Dan ini terbukti apabila lebih daripada 200,000 pengguna sudah berdaftar dengan perkhidmatan itu.

oBike kini mempunyai 10,000 basikal yang diletakkan di seluruh Lembah Klang, termasuklah di Sunway, SS2, SS15, Kota Damansara, Cyberjaya dan Putrajaya, malah ia turut menawarkan perlindungan insuran kemalangan peribadi mencecah RM10,000 untuk setiap pengguna berdaftar perkhidmatannya.

Dengan bayaran hanya RM1 untuk 15 minit penggunaan, aplikasi oBike mengira jumlah bayaran penuh setiap penggunaan dengan mengesan tempoh masa sebaik sahaja pengguna menamatkan aplikasi itu.

Konsepnya cukup mudah, tetapi perkhidmatan itu tidak terlepas daripada masalah yang timbul, kata pelanggan tetap Chong Tze Jia.

“Saya selalunya ambil basikal dari stesyen keretapi di Sunway untuk ke universiti saya yang berhampiran, ia cara yang baik untuk jimatkan masa saya berjalan kaki ke universiti.

“Bagaimanapun, pernah satu masa saya kehabisan data (internet di telefon pintar) jadi saya ada masalah mengakhiri penggunaan saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mujurlah syarikat itu memberikan sejam perjalanan percuma sepanjang September, disebabkan itu Chong tidak perlu membayar penggunaan ketika itu, jika tidak dia terpaksa membayar caj tambahan.

Seorang lagi pengguna basikal berpengalaman dari Petaling Jaya, Syamsul Rizuan berkata dia agak terkejut kerana basikal yang disediakan dalam keadaan baik tetapi aplikasi telefon pintarnya tidak mesra pengguna.

“Ia diletakkan di sekitar Petaling Jaya, saya pernah guna beberapa kali di Damansara Utama pada hujung minggu, kerangka basikal itu teguh dan ringan.

“(Tetapi) saya mengambil masa yang agak lama untuk memahami beberapa perkara seperti bagaimana untuk mengakhiri penggunaan, atau sistem penalti kredit dalam aplikasi itu, jadi ia agak tidak mesra pengguna,” kata lelaki berusia 43 tahun itu.

Masalah dengan majlis kerajaan tempatan

Tetapi masalah syarikat itu nampaknya tidak terhenti dengan masalah teknikal sahaja. Selain perlu menyelesaikan masalah aplikasi telefon pintarnya, permulaan khidmat oBike yang cerah potensinya terpaksa berdepan halangan majlis kerajaan tempatan dan masalah mendapatkan kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pengurus Pembangunan Perniagaan oBike, Ian Goh berkata syarikat itu telah bertemu kerajaan Selangor pada April lepas dan berjaya mendapat kelulusan untuk konsep oBike. Bagaimanapun, pentadbiran negeri meminta projek perintis dilaksanakan terlebih dahulu di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk merangka garis panduan perkhidmatan perkongsian basikal.

“Untuk kawasan negeri Selangor, kami ada projek perintis di MPSJ SS15, tetapi DBKL berbeza kerana ia dibawah (pentadbiran) wilayah persekutuan.

“Kerajaan negeri Selangor meluluskan keseluruhan konsep, tetapi mereka mahu ada peraturan, jadi peraturan (penuh) akan dilaksanakan apabila projek perintis di MPSJ siap,” kata Goh.

Kerana itu, basikal itu tidak boleh digunakan di Petaling Jaya, katanya, merujuk kepada kes terbaru apabila MBPJ menyaman oBike RM17,000 dan merampas 250 basikal kerana menghalang tempat awam.

Goh berkata, baru-baru ini DBKL meluahkan hasrat mereka untuk mempertimbangkan perkhidmatan oBike selepas bekerjasama dengan mereka pada Sukan Sea 2017. DBKL juga memberikan mereka permit untuk beroperasi di Kuala Lumpur sehingga hujung bulan ini.

Halangan awam

Goh berkata kebimbangan utama DBKl dan MBPJ adalah pengguna akan meletakkan basikal mereka dengan cara yang akan menghalang laluan pejalan kaki, atau menutup laluan untuk orang buta.

“Kami mempunyai hampir 20 orang yang meronda di KL, untuk memastikan basikal itu diletakkan kembali di tempat yang disediakan,” kata Goh.

Perkhidmatan itu juga menggunakan sistem penalti kredit, yang membolehkan pengguna oBike melaporkan pengguna basikal lain yang meletakkan basikal tanpa pertimbangan awam di jalan raya. Akaun oBike pesalah berulang boleh digantung.

“Semua orang bermula dengan 100 mata kredit, pengguna boleh laporkan pengguna lain. Semakin kurang mata kredit, semakin tinggi caj yang dikenakan.

“Untuk pengguna dapat mata kredit mereka kurang 60, mereka (sebenarnya) sudah diberikan amaran berulang kali (sebelum itu) dan (akaun) mereka akan digantung daripada oBike,” kata Goh.

Katanya, syarikat itu mahu melahirkan komuniti pengguna basikal yang bertanggungjawab, tetapi tidak menafikan wujud juga masalah lain seperti vandalisme kepada basikal mereka.

Tetapi Goh percaya ia akan dapat diatasi apabila kesedaran pengguna semakin bertambah.

“Kami cuba membentuk budaya perkongsian maklumat antara pengguna dalam komuniti,” kata Goh.

“Ia adalah risiko yang kami sedia ambil tetapi kami percaya kebaikan melebihi keburukan. Kami mahu semua orang berbasikal, kerana bagi kami itu lebih penting daripada bimbang mengenai beberapa basikal yang dirosakkan,” katanya. – 27 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen