Iran tembak dron pengintip AS


Pengawal Revolusi Iran hari ini mengatakan telah menembak ‘dron pengintip’ Amerika Syarikat (AS) dalam wilayahnya selepas menceroboh ruang udaranya. – Gambar EPA, 20 Jun, 2019.

PENGAWAL Revolusi Iran hari ini mengatakan telah menembak ‘dron pengintip’ Amerika Syarikat (AS) dalam wilayahnya selepas menceroboh ruang udaranya.

Bagaimanapun tidak ada tindak balas segera dilakukan oleh AS berhubung tembakan itu.

Pesawat pengawasan Global Hawk yang dihasilkan oleh AS ditembak dengan peluru berpandu selepas melanggar ruang udara Iran di perairan wilayah Hormozgan.

Kejadian itu berlaku ketika hubungan antara kedua-dua negara itu tegang selepas AS menuduh Iran menjadi dalang dalam beberapa siri operasi terhadap kapal tangki minyak di perairan Teluk.

Iran menafikan pembabitannya sebaliknya menyatakan Washington mungkin menjadi pihak yang merancang serangan itu sebagai alasan untuk menggunakan kekerasan ke atas mereka.

Ketua Pengawal Revolusi berkata, tindakan menembak jatuh dron itu adalah mesej jelas bahawa Iran akan mempertahankan sempadannya.

Hossein Salami yang dipetik oleh agensi berita Tasnim berkata, Iran akan bertindak balas kepada semua pencerobohan asing.

“Kami tidak akan mengisytiharkan perang tetapi bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang pengistiharaan perang,” katanya.  – AFP, 20 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen