7 militan maut selepas serangan Taliban dipatahkan


Pasukan keselamatan Afghanistan meningkatkan serangan terhadap Taliban sekaligus mematahkan usaha kumpulan militan itu untuk menawan beberapa wilayah di negara berkenaan.– Gambar EPA, 20 Jun, 2019

SERANGAN Taliban untuk menawan daerah Shuhada di wilayah utara Badakhshan berjaya dipatahkan dan tujuh anggota kumpulan militan itu terbunuh, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang jurucakap tentera Abdul Hadi Jamal pada Rabu.

Beliau berkata kumpulan Taliban telah melancarkan serangan besar-besaran pada awal Rabu untuk menawan ibu pejabat daerah Shuhada namun pasukan keselamatan yang ditempatkan di kawasan itu memberikan tentangan sengit, menyebabkan militan terpaksa melarikan diri dan meninggalkan tujuh anggotanya yang maut serta lima lagi yang cedera.

Dua anggota keselamatan turut terbunuh dalam pertempuran itu, menurut pegawai tersebut.

Militan Taliban, yang menguasai daerah Wardoj dan Yamgan sejak empat tahun lepas dan telah bertempur selama beberapa hari lepas untuk menawan daerah Shuhada, belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi di daerah yang bergolak itu. – Bernama, 20 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen