KUMPULAN rock U2 menambah satu lagi persembahan di Singapura selepas tiket untuk konsert sulungnya di negara itu habis hanya dua jam selepas dibuka untuk jualan hari ini, lapor Channel News Asia.
U2 akan membuat persembahan kedua pada Ahad, 1 Disember di Stadium Nasional, Singapura, tambahan kepada persembahan pertama pada masa sebelumnya, umum penganjurnya Live Nation.
“Tiket kepada umum akan mula dijual pada Isnin, 24 Jun ini,” kata Live Nation seperti dipetik media di Singapura.
Sama seperti jualan sebelum ini, tiket akan mula dijual kepada ahli kelab peminat U2 bermula esok sehingga Ahad.
Persembahan U2 ini adalah dalam siri jelajah The Joshua Tree Tour 2019, sempena ulang tahun ke-30 album bersejarahnya dengan judul yang sama yang terbit pada 1987.
Jelajah ini dibuka di Auckland, New Zealand pada 8 November sebelum bergerak ke lima bandar raya di Australia iaitu Brisbane, Adelaide, Melbourne, Sydney dan Perth.
U2 kemudian akan ke Singapura sebelum menyambung konsert di Tokyo dan Seoul.
Tiket dijual pada harga antara S$98 hingga S$368 (RM300 hingga RM1,120). Tiket untuk pakej VIP juga ditawarkan sehingga S$1,228 atau RM3,750. – 20 Jun, 2019.
Komen