PAS perlu ketuai mana-mana pakatan politik pada masa depan, kata mursyidul amnya Hashim Jasin pada muktamar parti Islam itu yang akan menentukan kemungkinan bekerjasama dengan bekas musuh tradisinya Umno.
“PAS perlu jadi ketua apa juga kerjasama politik, bukan pengikut lagi,” kata Hashim ketika berucap pada pelancaran muktamar Dewan Ulama PAS di Kuantan, Pahang hari ini.
Hashim berkata sebagai ketua pakatan seumpama itu, PAS akan memastikan gabungan itu mengguna pakai perjuangan sebenar prinsip Islam, menambah PAS sebelum ini pernah bekerjasama dengan pelbagai ideologi dan perjuangan politik.
PAS pernah bekerjasama dengan Umno untuk membentuk Barisan Nasional pada 1974 di mana ia menggunakan perpaduan Melayu sebagai ideologinya. Sepanjang 20 tahun lalu, ia bekerjasama dengan parti-parti Pakatan Harapan (PH), PKR dan DAP untuk membawa agenda keadilan sosial.
“Tetapi tidak adapun perjuangan itu yang membawa kejayaan atau manfaat kepada kita,” kata Hashim.
Sebagai mursyidul am, Hashim mengetuai majlis syura yang menentukan hala tuju keseluruhan dasar parti dan menentukan sama ada PAS mengikut syariat Islam.
Pada muktamar tahunan kali ini, pemimpin kanan parti Islam itu cuba meyakinkan ahli parti untuk mengetepikan sejarah permusuhan dengan Umno dan bekerjasama bagi menjatuhkan PH pada pilihan raya umum akan datang.
Sokongan daripada Dewan Ulama dan Majlis Syura diperlukan untuk kepimpinan PAS melaksanakan rancangannya bekerjasama dengan Umno.
Hashim berkata pemimpin Umno yang ditemuinya sangat terbuka ke arah bekerjasama dengan PAS dan dua organisasi itu mengadakan banyak program bersama.
“Pada masa lalu, Umno selalu fikir yang musuh mereka ialah PAS. Di tengah-tengah persaingan itu, muncul pesaing baharu. PAS dan Umno kini sedar siapa musuh sebenar mereka.
“Sekarang kita ada lambakan ahli baharu dan sokongan untuk kita di kampung-kampung sedang meningkat. Apa yang perlu kita buat ialah memastikan kerjasama dengan Umno ikhlas,” kata Hashim. – 20 Jun, 2019.
Komen