PARLIMEN Tunisia menerima pakai satu draf undang-undang organik berkaitan pilihan raya dan referendum, lapor agensi berita China Xinhua memetik agensi berita Tunis Afrique Presse (TAP) pada lewat Selasa.
Undang-undang baharu ini, yang merupakan pindaan kepada Undang-Undang Organik bertarikh 26 Mei 2014, diterima pakai selepas menerima 128 undi memihak, 30 menentang dan 14 berkecuali.
Ia akan mula berkuat kuasa sebaik sahaja disiarkan dalam Warta Rasmi Republik Tunisia.
Menurut undang-undang pilihan raya baharu, calon presiden perlu mengemukakan bukti pengisytiharan aset dan penyata cukai yang tepat pada masanya bagi tahun sebelum pemilihan.
Selain itu, mana-mana calon bagi pilihan raya presiden dan legislatif akan ditolak apabila didapati menyampaikan ceramah bertentangan dengan prinsip demokratik dan peruntukan perlembagaan atau ucapan yang mencetuskan kebencian, keganasan atau advokasi pelanggaran hak asasi manusia. – Bernama, 20 Jun, 2019.
Komen