Belgium berusaha dapatkan visa untuk keluarga Uighur


Dianggarkan sejuta etnik Uighur dan minoriti Islam yang lain dipercayai ditahan di kem sementara di China. – Gambar fail AFP, 20 Jun, 2019.

BELGIUM berkata ia sedang berusaha mendapatkan visa untuk keluarga Uighur yang hilang ketika diiringi keluar dari kedutaannya di Beijing minggu lalu.

Wanita dan empat anaknya hilang selama berminggu-minggu, membimbangkan suaminya, sebelum dilaporkan sudah dihantar kembali pulang ke Xinjiang.

Dianggarkan sejuta etnik Uighur dan minoriti Islam yang lain dipercayai ditahan di kem sementara di negara yang tegas itu.

Abdulhamid Tursun, pelarian politik di Belgium, berkata beliau belum mendengar khabar berita daripada keluarganya sejak 31 Mei, beberapa hari selepas mereka meninggalkan kedutaan.

“Saya bimbang keselamatan mereka. Saya harap mereka dapat datang dengan selamat di sini secepat mungkin,” katanya.

Belgium sebelum ini berkata salah seorang diplomatnya akan ke Xinjiang untuk memastikan di mana keluarga itu berada. Kementerian Luar Belgium berkata keluarga itu dikesan berada di Xinjiang.

Kedutaan Belgium di Beijing dikritik teruk kerana didakwa membenarkan polis China mengambil keluarga itu kembali ke Xinjiang, di mana mereka berdepan tindakan tahanan.

“Kes itu mendedahkan risiko tambahan dihadapi Uighur di China, walaupun jika mereka minta bantuan daripada kerajaan luar,” kata penyelidik China di Amnesty International, Patrick Poon.

“Kedutaan Belgium menunjukkan contoh buruk tentang bagaimana kerajaan meletakkan kepentingan ekonomi di atas hak asasi manusia,” katanya. – AFP, 20 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen