PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan semalam berkata sekutu rapatnya Mohamed Morsi “dibunuh” dan menuduh pihak berkuasa Mesir gagal campur tangan untuk menyelamatkan bekas presiden itu.
“Morsi bergelut di atas lantai di dewan mahkamah itu selama 20 minit. Malangnya pihak berkuasa tidak menyelamatkannya,” kata Erdogan dalam satu ucapan disiarkan di televisyen di Istanbul.
“Morsi mati dibunuh, dia bukan mati sebab semula jadi.”
Edogan mempunyai hubungan akrab dengan Morsi, presiden pertama dipilih di Mesir dan anggota Ikhwanul Muslimin yang terkemuka.
Tetapi hubungan Ankara dan Kaherah merosot selepas tentera Mesir, ketika itu diketuai oleh Abdel Fattah al-Sisi, menggulingkan Morsi pada 2013. Sisi kemudian menjadi presiden.
Erdogan dengan tegas berkata pengambilalihan tentera di Mesir adalah rampasan kuasa.
Semalam, beliau berkata akan membuat susulan terhadap proses berkaitan kematian Morsi.
“Kami akan buat apa yang diperlukan untuk Mesir dibicarakan di mahkamah antarabangsa.”
Pejabat Peguam Negara Mesir berkata Morsi dipindahkan serta-merta ke hospital, di mana doktor mengesahkan beliau sudah meninggal dunia.
Morsi dikebumikan pada Selasa, di mana kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch mendesak siasatan bebas dilakukan untuk mengenal pasti punca kematian.
Pada Selasa, Erdogan turut serta bersolat dan berdoa di masjid Istanbul untuk bekas pemimpin Mesir itu. – AFP, 20 Jun, 2019.
Komen