MILITAN membunuh 17 orang awam dalam serangan pada malam hari di sebuah kampung di utara Burkina Faso, kata Menteri Pertahanan Cheriff Sy pada Rabu.
“Kumpulan pengganas bersenjata melakukan serangan terhadap penduduk awam di kampung Belehede semalam,” kata Sy. “Serangan itu menyebabkan 17 kematian,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi ketenteraan “besar-besaran” sedang dijalankan untuk memburu penyerang dan menjaga keselamatan kawasan itu, tambah Sy, menggesa penduduk supaya lebih berhati-hati dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.
Burkina Faso kerap mengalami serangan maut yang disebabkan oleh beberapa kumpulan militan termasuk Group to Support Islam and Muslims (GSIM) dan Islamic State.
Serangan ini bermula pada 2015 di utara sebelum menyasarkan bandar Ouagadougou dan kawasan lain, terutamanya di timur.
Pada April, 62 orang terbunuh dalam serangan militan dan berlaku pertembungan etnik, dan empat orang yang menaiki kereta diserang dan dibunuh.
Lebih 400 orang terbunuh sejak 2015, ratusan sekolah di utara negara terpaksa ditutup selepas para guru mula melarikan diri dari wilayah ini apabila mereka menjadi sasaran.
Beberapa rakyat Barat menjadi tebusan dan dalam beberapa kes dibunuh. – AFP, 20 Jun, 2019.
Komen