Gempa 6.3 magnitud landa Papua, Indonesia


Gempa berlaku kira-kira 250km di sebelah barat bandar Abepura di wilayah Papua pada jam 12.46 waktu tempatan dengan kedalaman 12km. – Gambar EPA, 20 Jun, 2019.

GEMPA berkekuatan 6.3 magnitud melanda Papua, di timur Indonesia pada Khamis, kata ahli seismologi Amerika Syarikat (AS) tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa melanda kira-kira 250km di sebelah barat bandar Abepura di wilayah Papua pada jam 12.46 waktu tempatan, pada kedalaman 12km, menurut US Geological Survey.

Gempa dirasai lemah di Abepura, tetapi kebanyakan penduduk tidak menyedarinya.

“Saya masih jaga di rumah tetapi tidak merasainya langsung dan tiada seorang pun jiran saya lari dari rumah mereka,” kata penduduk Abepura, Arul Firmansyah kepada AFP.

Tiada laporan mengenai kematian selepas gempa bumi.

Indonesia mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap disebabkan kedudukannya di “Lingkaran Api” di Pasifik, di mana plat tektonik bergeseran.

Tahun lepas, gempa bumi 7.5 magnitud dan diikuti tsunami melanda Palu di pulau Sulawesi menyebabkan lebih 2,200 nyawa terkorban dengan 1,000 lagi yang dilaporkan hilang.

Pada 26 Disember 2004, gempa berkekuatan 9.1 melanda wilayah Aceh, menyebabkan tsunami dan membunuh lebih 170,000 orang. – AFP, 20 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen