BEKALAN air paip bersih hanyalah sebuah mimpi bagi beberapa kampung terpencil di Kuala Krai, Kelantan kerana perkhidmatan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tidak sampai ke kawasan berkenaan, kata seorang pegawai dari jabatan kesihatan daerah.
Dr Mohd Hafiz Che Ismail, seorang ahli epidemiologi di abatan kesihatan daerah Kuala Krai, memberitahu The Malaysian Insight beberapa kawasan tertentu di pedalaman Kuala Krai tidak dapat diakses AKSB, menjadi punca semua kampung ini tidak mempunyai bekalan air terawat.
AKSB, sebuah syarikat di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan, ditugaskan untuk memproses, merawat dan membekalkan air kepada negeri yang diterajui PAS.
“Bekalan air kami daripada AKSB. Bagaimanapun, sesetengah kawasan di pedalaman tidak termasuk dalam pekrhidmatan syarikat kerana jumlah air dirawat tidak mencukupi untuk diberi kepada semua isi rumah,” katanya di luar program WASH yang dianjurkan oleh Mercy Malaysia di Kampung Sungai Tias baru-baru ini.
WASH adalah projek air, sanitasi dan kebersihan oleh Mercy Malaysia yang memberi tumpuan kepada strategi air yang selamat. Ini termasuk membina sistem air alternatif, tandas dan pengedaran kit kebersihan di beberapa kampung terpencil di Kuala Krai.
“Tidak semua tempat termasuk. Sebaliknya, ada beberapa penduduk yang dibantu oleh sistem bekalan air graviti (GFS),” katanya, sambil menambah tidak semua penduduk mempunyai akses kepada GFS.
Jabatan kesihatan berkata ia bekerja dengan beberapa pertubuhan masyarakat sivil, seperti Mercy Malaysia, untuk membina sistem bekalan air alternatif seperti GFS dan telaga tiub di kampung yang jauh ke dalam, selepas menyedari kekurangan air bersih di semua kawasan ini.
AKSB sebelum ini berkata kemarau dan pencemaran menyebabkan negeri bergantung kepada sistem air alternatif.
Selain itu, ia disebabkan masalah kekurangan dana daripada kerajaan persekutuan untuk memperbaiki sistem bekalan air di negeri ini.
Bagaimanapun, Hafiz enggan mengulas apabila ditanya sama ada usaha yang mencukupi sudah dibuat oleh kerajaan negeri untuk menangani masalah ini.
Menurut sumber kepada The Malaysian Insight, wakil rakyat membiayai GFS secara persendirian di kawasan mereka kerana kerajaan negeri tidak membantu.

Kunjungan baru-baru ini ke Kampung Sungai Tias, 40km dari bandar Kuala Krai mendedahkan penduduk kampung sejak sekian lama minum air keruh dari perigi cetek yang tercemar dengan bangkai haiwan dan sampah.
Selama beberapa dekad, telaga ini merupakan sumber utama air mereka.
Apabila kemarau melanda, perigi menjadi kering, memaksa penduduk kampung bergantung kepada air mineral atau dari sungai berdekatan untuk minum dan bagi urusan rumah.
Kecewa dengan kerajaan negeri, penduduk di Kampung Sungai Tias mendapatkan bantuanMercy Malaysia untuk membina telaga tiub, dengan dana yang disediakan oleh Maybank Islamic di bawah program selama dua tahun.
Kampung ini kini mempunyai akses kepada air bersih.
Menteri Sumber Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata pada September lalu Kelantan adalah antara tiga negeri - selain Sabah dan Sarawak - di mana kekurangan akses kepada sumber air bersih mencapai tahap kritikal.
Kelantan juga merupakan pengguna air bawah tanah terbesar, yang menyumbang lebih daripada 80% penggunaan domestik dan industri di negeri ini.
Terdapat kira-kira 21 GFS dan 119 telaga tiub di negeri ini. – 20 Jun, 2019.
Berita penuh di sini
Komen