Pemuda PAS mahu parti terajui kerjasama dengan Umno


Sheridan Mahavera

Walaupun mengakui kedua-dua parti pernah bersengketa selama beberapa dekad, aktivis PAS yang ditemu bual The Malaysian Insight mengatakan luka lama itu sudah beransur pulih. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Jun, 2019.

PAS perlu menjadi peneraju utama dalam kerjasama dengan Umno yang pernah menjadi musuh utama parti itu, kata pimpinan Dewan Pemuda PAS.

Ini adalah antara syarat yang ditetapkan pemimpin Pemuda PAS di peringkat akar umbi ketika Muktamar Dewan Pemuda PAS bermesyuarat untuk membahaskan gabungan parti pembangkang dengan Umno di masa akan datang.

Umno, yang mempromosikan ideologi kebangsaan Melayu, juga harus menerima dasar Islam seperti cadangan untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan syariah di peringkat negeri.

Walaupun mengakui kedua-dua parti pernah bersengketa selama beberapa dekad, aktivis PAS yang ditemu bual The Malaysian Insight mengatakan luka lama itu sudah beransur pulih.

“Sebagai manusia, kita tetap akan berasa curiga terhadap Umno,” kata Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Abdul Hadi Ghazali.

“Tetapi ahli PAS akan mengikut apa yang diputuskan oleh kepimpinan kerana kita mungkin melihat sesuatu di peringkat akar umbi tetapi mereka mempunyai pandangan dari helikopter,” kata Hadi ketika ditemui di luar majlis Pemuda PAS di Kuantan.

Perhimpunan Muktamar Tahunan PAS ke-62 itu dijangka menyaksikan perbahasan parti mengenai syarat permuafakatan rasmi antara parti itu dan Umno, yang sebelum ini menyaksikan kedua-dua parti bekerjasama secara ad hoc sejak Pilihan Raya Umum ke-14.

PAS, Umno, dan sekutu NGO mereka bekerja keras sepanjang tahun lalu dalam tujuh pilihan raya kecil di seluruh negara. Tetapi pemimpin PAS mengatakan kerjasama itu dilakukan mengikut kesesuaian.

Setakat ini, tidak ada pakatan parti pembangkang yang bersatu dalam berdepan dengan kerajaan Pakatan Harapan seperti permuafakatan Pakatan Rakyat yang dulunya menjadi gabungan pembangkang bagi berdepan dengan Barisan Nasional (BN) ketika ia mentadbir kerajaan persekutuan.

Muktamar PAS itu akan menjadi batu loncatan besar untuk mewujudkan sebuah gabungan pembangkang dan kepimpinan berharap tema “Demi Islam” akan meyakinkan ahli-ahli yang masih ragu-ragu berhubung permuafakatan politik itu.

Bagaimanapun, untuk mencapai tujuan itu, kepimpinan mesti menetapkan syarat-syarat yang kukuh dan memberikan hujah berpandukan undang-undang agama kata Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat Izwan Abdul Halim.

Izwan menambah PAS juga perlu menjadi tulang belakang di sebalik perjanjian itu untuk memastikan prinsip Islamnya dapat dilaksanakan.

“Satu hal dengan Umno ialah ahli-ahlinya percaya dengan perjuangan Melayu tetapi PAS tidak boleh menerima ideologi berdasarkan kaum,” kata Izwan dari cawangan Sik, Kedah.

“Kami tidak akan memaksa anggota Umno datang ke program kami tetapi sekurang-kurangnya kami perlu membiasakan mereka dengan perjuangan kami,” kata Izwan lagi.

Satu lagi sebab PAS perlu jadi peneraju utama permuafakatan yang dibincangkan, Muhammad Farhan Md Zin berkata kerana wujud persepsi negatif masyarakat terhadap Umno dan gabungan yang diketuainya, BN.

“Kita sepatutnya mempunyai peranan utama untuk membawa permuafakatan itu jauh ke hadapan berbanding BN kerana tanggapan awam kepada mereka adalah negatif,” kata Farhan yang merupakan pimpinan Pemuda PAS cawangan Cheras, Kuala Lumpur.

“Ia akan menjadi beban kepada kita sekiranya mereka memimpin kerana kita harus bertanggungjawab membaiki imej mereka. Kita (yang sepatutnya) harus memimpin kerana kita tidak mempunyai imej negatif,” kata Farhan lagi.

Perwakilan Pemuda PAS Selangor Shazif Othman mahu ideologi Islam parti itu menonjol dalam gabungan atau permuafakatan politik baharu itu nanti, dan ia termasuk penerimaan semua anggota gabungan terhadap inisiatif untuk meminda Akta Mahkamah Syariah 1965.

Usul yang dipanggil RUU355 itu di Parlimen, akan menyaksikan pelaksanaan hukuman bagi kesalahan syariah seperti meminum alkohol dan yang seumpama dengannya ditingkatkan.

“Bukan hanya RUR355, tetapi sebilangan besar dasar Islam yang progresif,” kata Shazif lagi yang merupakan wakil Pemuda PAS Subang.

Shazif berkata penerimaan Umno terhadap perjuangan Islam akan membantu menghilangkan rasa syak wasangka yang dirasai oleh ahli PAS terhadap parti nasionalis Melayu itu. – 20 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen