PENAHANAN penulis yang juga wartawan Turki sebelum ini menunjukkan segelintir agensi kerajaan kini menuju ke arah ekstremisme agama kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Mengkritik penahanan Mustafa Akyol selama 17 jam pada Isnin, Suhakam turut menggesa kerajaan untuk perkukuhkan agensi seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang bertanggungjawab ke atas penahanan wartawan itu.
Sementara suruhanjaya itu tidak percaya layanan Jawi ke atas Mustafa mencerminkan perubahan seluruh polisi kerajaan, masyarakat umum pula tidak berfikir sedemikian, kata Pengerusi Suhakam Razali Ismail.
“Ternyata, sektor kerajaan dibenarkan mengambil tindakan sewenang-wenangnya walaupun diterjemahkan oleh mereka untuk mempertahankan prinsip,” kata Razali dalam satu kenyataan.
“Tindakan sebegitu dalam negara kita yang berbilang agama, berbilang kaum dan sederhana ini pada pandangan kami adalah represif, tidak demokratik dan bertujuan untuk menakutkan.
“Tidak timbul persoalan bahawa ia mesti dihentikan oleh kerajaan dan tindakan ini mencerminkan permusuhan, pemikiran cetek dan sikap yang tiada toleransi dalam masyarakat umum, intelektual dan agama dan ia tidak boleh lagi berulang.”
Mustafa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada malam 25 September lalu selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Waran tangkap itu dimohon oleh Jawi selepas Mustafa gagal untuk hadir di pejabat jabatan agama itu pada 25 September.
Jawi mahu mengambil kenyataan daripada Mustafa yang terlibat dalam forum anjuran IRF bertajuk “Does Freedom of Conscience Open the Floodgates to Apostasy”.
Mustafa disiasat kerana didakwa melanggar Seksyen 11 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997, kerana mengajar agama tanpa tauliah daripada Jawi.
Dia bagaimanapun dibebaskan semalam dan meninggalkan negara ini pada hari yang sama.
Semalam, Suhakam menghantar satu pasukan untuk menyiasat berhubung penahanan Mustafa.
Razali menambah, sekiranya dibiarkan tindakan itu hanya akan menggalakkan golongan yang mendorong polarisasi dan kekuasaan satu kumpuan atau satu fahaman agama dengan agama yang lain.
“Suhakam dengan tegas mahu kerajaan mengambil tindakan ke atas ekstremisme agama kerana dibimbangi sekiranya keadaan ini berterusan, Malaysia akan berubah secara kualitatif ke arah yang lebih buruk,” kata Razali. – 27 September, 2017.
Komen