JABATAN Amal PAS negeri Perlis mempersoalkan tindakan sayap Pemuda parti itu menjemput aktivis Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu untuk berucap di pentas muktamarnya.
Ketua Jabatan Amal Perlis Amirul Jufri Mat Saman berkata tindakan berkenaan tidak patut kerana mereka terguris hati dengan kenyataan Zamri sebelum ini.
“Kenapa jemput Zamri Vinoth datang, kita nak minta penjelasan daripada muktamar sekurang kurangnya sebelum buat keputusan nak jemput dia datang, mai lah tanya kami dulu.
“Sedangkan kita orang Perlis terguris hati kerana dia sebarkan fitnah terhadap kita. Kita nak minta penjelasan daripada muktamar,” katanya.
“Kalau tiada penjelasan kami perwakilan Pemuda PAS Perlis akan keluar dewan,” katanya.
Amirul Jufri berkata demikian ketika sesi pembentangan penyata kira-kira Pemuda PAS, sewaktu sidang Muktamar Pemuda PAS ke-60, di Gambang, hari ini.
Pengerusi Tetap Pemuda PAS Kamal Ashaari kemudiannya meminta Amirul Jufri membangkitkan perkara itu ketika sesi perbahasan.
Ini kerana, persidangan masih belum selesai membentangkan penyata kira-kira Pemuda PAS, jelasnya.
Sewaktu sesi muktamar sedang berlangsung, Zamri diberikan ruang khas untuk memberi ucapan selama kira-kira 10 minit.
Ketika ditanya, Amirul bagaimanapun enggan menjelaskan sebab pergeseran dengan Zamri yang merupakan anak didik penceramah kontroversi Zakir Naik.
“Nanti dulu…kes belum selesai lagi,” katanya, dan enggan mengulas lanjut. – 19 Jun, 2019.
Komen