SPR belum cadang undi luar kawasan untuk Sabah, Sarawak


Diyana Ibrahim

Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah (tengah) ketika melancarkan aplikasi mudah alih 'MySPR Semak' bersempana sambutan ulang tahun SPR ke-60 di Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffim, 27 September, 2017.  

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak akan memberi pilihan mengundi di luar kawasan kepada pengundi yang berdaftar di Sabah dan Sarawak untuk mengundi di Semenanjung, atau sebaliknya, seperti yang dituntut oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).
 
Pengerusinya Mohd Hashim Abdullah berkata, jika SPR ikut apa yang dicadangkan oleh Bersih, keistimewaan yang sama juga perlu diberikan kepada semua pengundi di semua negeri di Malaysia.
 
“Mengundi ini kita kena ingat kalau nak bagi keistimewaan, kena bagi semua. 
 
“Bagaimana dengan orang Kelantan, macam saya? Macam mana dengan orang Kedah? Macam mana dengan orang Terengganu? Orang Sabah Sarawak pun ada ramai,” katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi mudah alih ‘MySPR Semak’ bersempana sambutan ulang tahun SPR ke-60 di Putrajaya, hari ini.
 
Hashim mengulas cadangan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang mahu undang-undang dipinda bagi membolehkan pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malayasia dan pengundi Semenanjung Malaysia yang menetap di Sabah dan Sarawak didaftarkan sebagai pengundi luar kawasan.
 
Maria berkata jika mereka dibenarkan mengundi di Semenanjung, maka SPR perlu mengadakan pengundian lebih awal sama seperti yang dilakukan untuk anggota keselamatan polis dan tentera serta pekerja kecemasan.

Bersih 2.0 menganggarkan ada lebih 150,000 pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia. Mereka ini akan membelanjakan ratusan ringgit setiap kali pilihan raya untuk pulang mengundi.

Malah beliau juga menganggap cadangan Bersih 2.0 itu tidak sepatutnya jadi isu kerana pengundi Sabah dan Sarawak yang bertegas mahu mengundi di tempat lahir walaupun ada pilihan untuk mengundi di tempat mereka tinggal.

“Sebenarnya kita galakkan pengundi untuk daftar di tempat mereka tinggal. Tapi mereka tak nak, semua nak daftar nak balik kampung.

“Jadi tidak ada isu pun di sini sebab mereka ini semua boleh balik ke Sabah dan Sarawak, negeri masing-masing (untuk mengundi).”

Hashim turut mengulangi pendirian SPR bahawa pengundi mungkin masih belum bersedia untuk pelaksanaan sistem undi elektronik.

“Kenapa kita nak buat e-voting? Dalam negara kita sebenarnya pilihan raya amat sensitif.

“Kalau kita nak buat kita kena kaji balik negara mana yang buat dulu, adakah mereka berjaya sepenuhnya atau mereka perlu patah balik kepada sistem manual.”

Katanya, jika SPR melaksanakan e-voting, pihaknya perlu mengambil risiko kemungkinan sistem itu gagal sehingga boleh menganggu kelancaran hari pengundian.

“Adakah kita boleh terima sekiranya apa-apa berlaku, sebab masyarakat kita sensitif soal pilihan raya. Bab lampu terbakar, lampu terpadam pun dijadikan isu besar, inikan pula jika sistem itu tergendala.”

Menurut Hashim, jika SPR mengikut cadangan tersebut sekalipun, ia bermakna pindaan undang-undang perlu dilakukan, yang memerlukan kelulusan dua pertiga di Dewan Rakyat. – 27 September, 2017.
 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen