SEORANG ahli pemuda PAS menyuarakan persoalan sama ada DAP akan kumpul dana parti hasil projek penambakan tanah di Pulau Pinang.
Ketua Pemuda Pas Bayan Baru Zikrullah Ismail berkata projek yang diselubungi kontroversi itu mendapat penentangan sengit daripada warga tempatan, mempunyai dua objektif.
Yang pertama adalah membiayai kempen politik DAP untuk mengambil alih Sabah dan Sarawak dan yang kedua adalah untuk mengubah populasi penduduk Pulau Pinang Selatan yang kini memiliki majoriti penduduk Melayu.
“Projek bernilai RM46 bilion, terdapat satu konsortium dan tiga pemaju. Bacaan politik saya adalah ia boleh dikaitkan dengan kroni-kroni,” kata Zikrullah dalam ucapannya di Muktamar Dewan Pemuda PAS hari ini.
“Berapa peratuskah DAP akan kenakan cukai daripada pemaju? Adakah mereka akan menggunakan dana daripada (projek) ini dan melabur di Sabah dan Sarawak di mana kita tahu mereka mahu ambil alih pentadbiran?
“Kita kumpul sumbangan untuk kempen kita di Sabah dan Sarawak dan kita (juga) benarkan mereka melakukan ini kepada kita,” katanya
Menurut cadangan projek itu, tiga pulau buatan manusia akan diwujudkan di selatan Pulau Pinang yang akan menjadi tapak hartanah komersial.
Kerajaan Pulau Pinang mendakwa hasil daripada projek penambakan itu akan digunakan untuk membiayai inisiatif pengangkutan awamnya.
Zikrullah menambah bahawa populasi pulau-pulau baru itu akan mengubah susunan demografi penduduk di bahagian selatan pulau tersebut. – 19 Jun, 2019.
Komen