Mesir tuduh PBB politikkan kematian Morsi


Bekas presiden Mesir, Mohamed Morsi dilaporkan telah ditahan di dalam pengasingan bersendirian selama 23 jam sehari, beliau hanya diberi satu jam untuk bersenam sendirian. – Gambar EPA, 19 Jun, 2019.

MESIR menuduh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) “mempolitikkan” kematian presiden negara pertama yang dipilih secara demokratik Mohamed Morsi kerana menggesa “siasatan bebas” dijalankan.

Jurucakap kementerian luar Ahmed Hafez berkata beliau mengutuk “keras” gesaan jurucakap Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Rupert Colville, yang mahu siasatan bebas dijalankan terhadap kematian Morsi semasa pendengaran mahkamah pada hari Isnin.

Hafez berkata ia adalah “percubaan yang sengaja untuk mempolitikkan kes kematian yang alami.”

Colville membuat gesaan itu pada hari Selasa bagi mengetahui sama ada keadaan yang dihadapi Morsi dalam tempoh hampir enam tahun dalam tahanan menyumbang kepada kematiannya tempohari.

“Mana-mana kematian secara tiba-tiba dalam penjagaan institusi kerajaan mesti disusuli siasatan segera, adil, teliti dan telus yang dijalankan oleh badan bebas bagi menjelaskan penyebab kematian,” katanya.

“Kebimbangan telah dibangkitkan mengenai keadaan sel tahanan Encik Morsi, termasuk akses kepada rawatan perubatan, serta akses yang cukup untuk peguam dan keluarga,” tambah Colville.

Beliau menjelaskan siasatan itu mestilah “merangkumi semua aspek layanan pihak berkuasa terhadap Morsi bagi memeriksa sama ada keadaan penahanannya memberi impak kepada kematiannya.”

Terdahulu, Morsi digulingkan oleh ketua tentera ketika yang kini menduduki jawatan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi pada tahun 2013 selepas satu tahun berkuasa sebelum digulingkan. Morsi kemudiannya didakwa dengan pelbagai kesalahan termasuk pengintipan.

Sejak pemergiannya, pihak berkuasa telah mengambil tindakan keras yang berterusan terhadap ribuan pendukung Ikhwan Muslimin yang dipenjarakan dan ratusan yang lain kini menghadapi hukuman mati.

Sekumpulan ahli parlimen Britain pada bulan Mac 2018 memberi amaran mengenai keadaan Morsi, terutamanya rawatan yang tidak mencukupi untuk penyakit diabetes dan penyakit hati yang boleh mengakibatkan “kematian awal”. – AFP, 19 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen