Denda mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB, kata Pakatan


Asila Jalil

Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Bank Negara melindungi integritinya sebagai sebuah institusi yang tidak membenarkan skandal yang sama berulang lagi di masa depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 September, 2017.

BANK Negara Malaysia (BNM) perlu mengambil tindakan terhadap individu-individu yang terlibat dengan 1Malaysia Development Berhad(1MDB), kata Pakatan Harapan (PH).

Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail merujuk kepada jawapan BNM semalam berkenaan denda yang dikenakan ke atas 1MDB.

Beliau berkata Perkara 234(3)(b) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 membolehkan BNM mengenakan denda sebanyak RM5 juta atau jumlah tidak lebih dari tiga kali jumlah yang terlibat dalam skandal itu.

Wan Azizah juga berkata Perkara 234(5) Akta memberikan BNM kuasa untuk mengenakan penalti atau hukuman yang dibenarkan di bawah akta itu kepada pengarah, pengurus kanan dan mana-mana individu yang bertanggungjawab ke atas pengurusan 1MDB.

“Buat masa ini BNM hnaya mengguna pakai Perkara 234(3)(b) untuk mengenakan denda sebanyak RM115.8 juta kepada 1MDB dan pihak yang terlibat.

“Jika BNM mengenakan denda di bawah Perkara 234(3)(b) ke atas 1MDB sebagai sebuah badan korporat, ia sepatutnya termasuk langkah yang diabil di bawah Perkara 234(5) ke atas individu-individu yang bertanggungjawab memberi arahan sehingga 1MDB melanggar undang-undang.

“Saya gesa BNM untuk melindungi integritinya sebagai sebuah institusi yang tidak membenarkan skandal yang sama berulang lagi di masa depan,” kata Wan Azizah pada sidang akhbar di ibu pejabat parti di Petaling Jaya.

Tambah Wan Azizah lagi, PH akan membuat laporan polis pada minggu depan bagi membolehkan BNM menyiasat Perdana Menteri Najib Razak sebagai Pengerusi 1MDB, lembaga pengarah dan pengurus kanan, di bawah Perkara 234(5).

Beliau berkata keputusan BNM mendenda 1MDB sebanyak RM115.8 juta turut merupakan satu hukuman bagi rakyat Malaysia kerana merekalah yang terpaksa menanggung hutang syarikat pelaburan negara itu.

Daripada jumlah denda itu kata Wan Azizah, RM53.7 juta akan dikenakan kepada AmBank kerana melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

“Saya mahukan pengesahan berkenaan adakah baki RM62.1 juta sudah dibayar, dan jika sudah, siapa yang membayarnya?

“Sekiranya ia (baki) dibayar oleh 1MDB dan mereka yang terlibat, ini menunjukkan yang rakyat bukan saja menjadi mangsa kepada penyalahgunaan dana, malah terpaksa menanggung hutang yang dikenakan terhadap 1MDB,” katanya.

Pada April 2016, BNM mendenda 1MDB kerana gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan.

Menurut BNM, kegagalan 1MDB itu termasuk memulangkan AS$1.83 bilion yang dihantar ke luar negara selepas pembatalan tiga kebenaran yang diberikan BNM kepada 1MDB pada 2009, 2010 dan 2011.

BNM berkata 1MDB juga gagal kemuka bukti dan dokumentasi bagi mengesahkan ia tidak mampu mematuhi perintah penghantaran balik.

Dana pelaburan negara yang dilhamkan Perdana Menteri Najib Razak juga berdepan beberapa tindakan undang-undang di Amerika Syarikat (AS), Singapura, Switzerland dan United Kingdom. 

Jabatan Kehakiman (DoJ) AS telah mengadakan siasatan jenayah terhadap wang yang didakwa dicuri dari 1MDB. – 27 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen