SEORANG remaja Amerika didakwa kerana bersubahat membunuh “kawan baiknya” oleh seorang lelaki yang dikenalinya dalam talian yang menawarkan AS$9 juta (RM37.5 juta) untuk melakukan jenayah itu.
Menurut penyiasat, Denali Brehmer, remaja berusia 18 tahun dari Alaska, ditugaskan membunuh sahabatnya itu oleh seorang lelaki, Darin Schilmiller, 21, dari Indiana.
Pasangan itu berkenalan dalam talian, dengan Schilmiller menggunakan identiti palsu menyamar sebagai seorang hartawan bernama “Tyler”.
Dokumen mahkamah menyatakan yang sepanjang hubungan, mereka sering membincangkan rancangan untuk merogol dan membunuh seseorang di Alaska.
Schilmiller berjanji akan membayar AS$9 juta atau lebih sekiranya Brehmer menghantar video dan gambar serangan itu.
Brehmer kemudian mengumpulkan empat rakannya dan kumpulan itu mensasarkan Cynthia Hoffman- dianggap salah seorang kawan baik Brehmer- sebagai mangsa.
Pada 2 Jun lalu, pihak berkuasa berkata, Hoffman, 19, diajak mendaki kawasan di Anchorage, di mana beliau diikat dan ditembak di belakang kepala sebelum mayatnya dihumban ke dalam sungai.
Mayatnya ditemui dua hari selepas kejadian.
Laporan berita tempatan melaporkan keterangan ayah Hoffman yang anak perempuannya itu ada masalah pembelajaran dan kapasiti mental budak 12 tahun.
Polis berkata mangsa dibawa ke Air Terjun Thunderbirds oleh Brehmer dan Kayden McIntosh, remaja lelaki berusia 16 tahun dengan alasan mendaki kawasan itu.
McIntosh didakwa menembak Hoffman dengan senapang Brehmer dan membuang mayatnya ke dalam sungai.
Pihak berkuasa berkata Brehmer berkomunikasi dengan Schilmiller sepanjang pembunuhan itu, menghantarnya “gambar dan video Snapchat Hoffman diikat dan mayatnya”.
Brehmer dan McIntosh ditahan dan didakwa kerana pembunuhan itu. Schilmiller juga ditahan bersama-sama tiga yang lain atas tuduhan membantu merancang dan melaksanakan jenayah itu.
Seorang hakim agung pada Jumaat menyabitkan semua defendan dengan pembunuhan kelas pertama, bersubahat melakukan pembunuhan kelas pertama, dan dua pertuduhan bunuh kelas kedua dan pelbagai tuduhan lain.
Schilmiller dan Brehmer juga disabitkan semalam kerana jenayah pornografi kanak-kanak dan eksploitasi.
Polis berkata dalam siasatan ke atas telefon Brehmer berkaitan kematian Hoffman mendedahkan yang remaja itu -atas arahan Schilmiller- menerbitkan video seksual melibatkan kanak-kanak yang dihantar kepadanya.
Menurut dokumen mahkamah, Schilmiller mengaku cuba memeras ugut Brehmer selepas pembunuhan untuk melakukan serangan seksual ke atas gadis sunti.
Kedua-dua mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup kerana pornografi kanak-kanak.
Mereka juga berdepan hukuman penjara 99 tahun untuk setiap satu pertuduhan bunuh, bersubahat melakukan jenayah bunuh dan merancang membunuh. – AFP, 19 Jun, 2019.
Komen