Putrajaya perlu hentikan penyebaran liberalisme agama, kata PAS


Sheridan Mahavera

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata golongan liberal percaya semua agama adalah sama dan mempunyai status sama rata dalam undang-undang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Jun, 2019.

PAS menggesa Putrajaya menghentikan penyebaran liberalisme agama, berkata ideologi itu satu ancaman kepada umat Islam dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan presiden parti Islam itu Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini kerana liberal percaya semua agama adalah sama dan mempunyai status sama rata dalam undang-undang.

“Kita menghormati hak orang bukan Islam dan kita tak pernah paksa mereka menerima Islam. Tetapi pemikiran liberal ini sangat bahaya kerana dia kata semua agama adalah sama.

“Dia kata hak kita semua sama tapi Perlembagaan Persekutuan sudah tetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan. Saya desak kerajaan untuk halang pemikiran liberal,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian mendakwa “musuh Islam” menghina kepercayaan umat Islam dalam undang-undang syariah tempatan dan ulama mereka.

“Rancangan musuh untuk lemahkan umat Islam, ragukan Muslim terhadap agama sendiri untuk lahirkan generasi yang ragu-ragu kepada undang-undang politik dan harta pusaka isteri dan suami.

“Mereka hina alim ulama kita lihat apa yang mereka tulis pada Zakir Naik, Hadi Awang, Yusuf Al Qardawi untuk hilangkan keyakinan terhadap tokoh-tokoh kita,” katanya.

Selepas ucapannya, perwakilan dan peserta perhimpunan Pemuda PAS menyatakan solidariti terhadap Zakir, pendakwah kontroversi warga India yang dipercayai berada di Malaysia, dan dikehendaki di negara asalnya susulan pertuduhan pengubahan wang haram dan keganasan yang dikenakan terhadapnya.

India menghantar permohonan ekstradisi secara rasmi terhadap doktor perubatan itu tetapi Putrajaya mahukan jaminan beliau tidak akan dipenjarakan sebelum disabitkan bersalah.

Rakyat Malaysia juga terpecah sama ada mahu menghantar pulang Zakir ke India atau tidak, dan pada masa sama ada petisyen online menggesa Putrajaya menghantarnya pulang, dan satu lagi petisyen memohon tidak mengekstradisi pendakwah itu. – 19 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen