2 kampung di Mali diserang, 38 maut


Seramai 38 orang maut dan puluhan lagi cedera dalam serangan dia dua perkampungan etnik Dogon di tengah Mali, semalam. – Gambar fail AFP, 19 Jun, 2019.

SERAMAI 38 orang maut dan puluhan lagi cedera dalam serangan dia dua perkampungan etnik Dogon di tengah Mali, semalam, kata pihak berkuasa, dalam siri keganasan terbaharu di negara itu.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam insiden Isnin lalu namun Mali pada tahun ini dicemari kes pembunuhan beramai-ramai membabitkan etnik Dogon dan komuniti Fulani.

“Serangan pengganas pada petang Isnin disasarkan kepada perkampungan Gangafani dan Yoro, tidak jauh dari sempadan Burkina Faso. Jumlah kematian rasmi 38 orang dan ramai lagi tercedera.

“Pasukan keselamatan dan pertahanan dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu melindungi penduduk setempat dan harta benda, selain menjejaki penyerang,” kata kerajaan Mali dalam satu kenyataan.

Pegawai komuniti setempat, Goundjou Poudiougou berkata puluhan mayat ditemui di kedua-dua perkampungan itu.

“Penyerang ialah pengganas kerana mereka membunuh dan melapah mayat serta membakar semua tanaman,” katanya.

Awal bulan ini, pembunuhan beramai-ramai di perkampungan Sobane Da meragut 35 nyawa dan mencetuskan ketakutan orang ramai.

“Kejadian kali ini sama seperti apa yang berlaku di Sobane Da iaitu orang ramai dan haiwan ternakan menjadi sasaran,” kata jurucakap persatuan Dogon Mali, Adama Dionko. – AFP, 19 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen