PUTRAJAYA “lesu” dalam melindungi dan memperjuangkan orang Islam, kata Ketua Pemuda PAS Khalil Abdul Hadi meneruskan naratif pembangkang yang Pakatan Harapan anti Islam.
Khalil juga mengecam komitmen pentadbiran PH dalam meratifikasi perjanjian antarabangsa mengenai hak asasi manusia yang dakwanya mengancam kedaulatan negara.
Ini termasuklah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom yang menjadikan Malaysia ahli Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Manakala, agensi kerajaan tentang hal ehwal agama Islam pula lebih banyak memberi perhatian kepada kepentingan bukan Islam berbanding Islam, dakwanya lagi.
“Kementerian Luar lesu bela umat Islam, tetapi ghairah hendak meratifikasi perjanjian-perjanjian antarabangsa yang menggugat kedaulatan negara secara halus seperti ICERD dan Statut Rom,” katanya dalam ucapan di Muktamar Pemuda PAS di Kuantan hari ini.
“(Sementara itu) Mereka yang ditugaskan untuk jaga Islam, lebih prihatin dan beriya-iya mempertahankan agama lain serta lebih suka berdiam-diam ketika PAS dihina.”
Khalil juga mendakwa ada cubaan menganggu gugat agama Islam secara terang-terangan oleh ahli politik bukan Islam.
“Terdapat usaha ganggu gugat kesucian Islam di bumi secara terangan.
“Pada bulan Ramadan ada di kalangan mereja yang lantang menentang Islam di dalam Parlimen, tetapi menceroboh institusi islam untuk agihkan zakat. Agenda ini sangat terancang dan melibatkan pertubuhan antarabangsa sebagai pendesak,” katanya.
Walaupun, beliau tidak menamakan siapa yang terlibat, dipercayai beliau merujuk kepada seorang ahli politik PH di Pulau Pinang yang sebelum ini dikritik kerana memberi wang zakat di sebuah masjid. – 19 Jun, 2019.
Komen