LUPAKAN dulu soalan sama ada video lucah homoseks membabitkan dua manusia yang tersebar pada 11 Jun lalu itu, rakaman tulen atau artifisial. Sama ada wujud manipulasi teknologi atau 100% asli.
Berdasarkan pengalaman 25 tahun dalam industri visual dan teknologi video, saya ada pandangan sendiri. Sama ada Haziq Abdullah Abdul Aziz dan Azmin Ali pelakunya, ia bukan isu.
Artikel ini hanya memfokuskan: persepsi awam terhadap motif politik berikutan penyebaran video jijik ini.
Mengulas soal teknikal sudah jadi tidak perlu. Itu kerja polis sekarang kerana kes sedang disiasat.
Secara umum, persepsi awam terhadap isu ini bukan lagi rahsia. Orang awam lebih cenderung memikirkan: 11 Jun lalu – bermula satu lagi titik sejarah. Budaya politik kotor terus menjadi mercu tanda demokrasi di negara ini.
Lupakan Malaysia Baharu dan ketawakan saja demokrasi tulen!
Ingat, selepas 20 tahun dimatangkan oleh budaya politik yang hodoh, masyarakat lebih cerdik. Dalam kes ini, orang awam lebih cenderung untuk memikirkan: siapa dalang di sebalik penularan video ini?
Orang awam kurang berminat untuk tahu: siapakah dua pelaku dalam video sensasi itu.
Dalilnya mudah: video ini ingin menjatuhkan seseorang. Motifnya sangat jelas berbau politik. Jadi, tumpu saja pada siapa dalang yang merancang semua konspirasi ini.
Sebagai senario sekadar rujukan: ini kutipan perbualan ketika bertemu kawan-kawan dan bergebang raya di warung kopi. Kedai catuk di Jalan Abdul Rahman Idris, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Epilog warung kopi
“Siapa yang menyebarkan video itu, sudah pasti niatnya mahu memusnahkan Azmin!”
Rakan kami ini orang bisnes paling berjaya. Memiliki syarikat pengawal keselamatan yang besar. Kerap kali datang mengopi sambil bertukar kereta. Selalunya Audi. Sesekali Ferrari.
Persepsi orang bisnes yang rajin ini tidak berakhir di situ. Ia berlanjut dengan ulasan: “Anwar Ibrahim dilihat paling terancam dengan senario hubungan baik Dr Mahathir dan Azmin. Orang nampak isu ini ada kaitan. Cuma, siapa pelaku konspirasi ini masih lagi persoalan utama.”
“Kau wartawan. Pasti kau lebih tahu?”
Sebagai wartawan, rakan-rakan sering beranggapan, saya tahu semua benda dalam politik. Malah, apabila duduk saja berdepan dengan mereka di meja kopi, saya dianggap sebagai sumber untuk mengesahkan semua fakta.
“Kenapa kamu semua yakin sangat kes ini satu konspirasi politik?,” tanya saya.
“Takkan video ini diusahakan untuk industri filem lucah,” balas kawan saya sinis.
Si sinis ini nampak terbeban dengan pelbagai isu sejak Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada 10 Mei tahun lalu.
Sebagai tukang kempen PH pada PRU14 lalu, kawan kami penjual burger ini, hilang air muka dan sangat kecewa dengan kejadian video lucah ini.
“Tanyalah siapa pun. Logiknya, orang bodoh pun akan menganggap, video ini memang nak jahanamkan Azmin.
“Musuh Azmin bukan orang luar. Ini permainan orang dalam partinya sendiri,” sampuk pemilik kedai runcit di Jalan Raja Alang.
“Orang faham, krisis politik dalam PKR kini sudah tidak terkawal. Aku malu betul,” kata penjual burger.
Hero kempen PH kecewa
Kami mendengar saja. Sebagai antara kepala kempen PH di Kampung Baru pada PRU14 lalu, penjual burger nampak agak emosi.
Krisis video lucah ini jelas kemuncak kekecewaannya. Sebelum PRU14, penjual burger ini antara pejuang tegar yang mahu menjatuhkan BN dan mengenyahkan Najib Razak. Malam ini, wajahnya jelas merana; perjuangannya terasa tidak berbaloi.
“Kita bagi mereka kuasa. Janji nak pulihkan negara. Sekarang lain jadinya. Politik Malaysia makin teruk sebab sesama mereka kemaruk berebut kuasa,” rungut penjual burger.
“Konon demokratik. Ingat setelah selesai pemilihan parti, isu kuasa sudah selesai. Tak habis-habis juga.
“Video seks ini bukti dalam PKR dan PH, budaya gila kuasa lagi teruk berbanding BN,” rungutnya.
Ini hari paling emosional bagi kawan kami si penjual burger. Sebagai “tukang kempen PH”, dia nampak malu besar.
“Polis tengah siasat. Tapi akan ambil masa juga. Sukar nak buktikan siapa kepala konspirasi yang sebarkan klipnya.
“Atau, boleh jadi dalang sebenar akan terlepas begitu saja. Sebab dalam politik, kerja kotor banyak dijalankan barua saja. Mastermind takkan kotorkan tangannya,” kata saya.
“Ini isu dalaman PKR. Mati hidup balik pun, orang takkan percaya, video ini disebar tanpa niat politik. Orang yang nak bunuh Azmin, tentulah orang PKR sendiri,” kata ahli perniagaan pemilik Ferrari dan penggemar Audi.
Mail Kurus yang menjual batu cincin murah di Pasar Karat, Jalan Petaling antara yang paling muda dalam korum mengopi malam itu. Dia memang pendiam dan jarang memberikan komen. Budak muda selalunya hanya gemar duduk minum kopi dan mendengar saja.
Ini bukan kerja Umno atau PAS
“Kami di Pasar Karat (Jalan Petaling) semalam bersembang panjang soal video ini. Kami anggap isu ini tak ada kaitan dengan Umno atau PAS. Ini isu sabotaj puak dalam parti Azmin sendiri,” kata Mail Kurus.
Dia terkenal pro Umno dan BN. Jadi, kenyataannya sekadar menyatakan pendirian: parti sokongannya tidak terbabit!
Korum panjang sembilan orang dengan dua meja disatukan di sudut warung agak hangat. Cuma, kami ada semangat setia kawan. Kami jarang berdebat isu politik. Sebab budaya orang Chow Kit agak keras. Salah bual boleh bawa bertumbuk.
Ini meja korum tetap setiap malam minggu. Selalunya, korum ini tidak akan berbual soal politik. Cuma, kerana hangatnya bahang tularan video aksi seks di Hotel Four Point di Sandakan, tidak ada siapa pun yang mampu mengunci mulut.
“Lepas tersebar saja, aku sudah syak ada yang tak kena. Video dirakam 11 Mei, kenapa disebar 11 Jun. Itu pun persoalan juga,” cetus rakan yang memiliki tiga kedai runcit di sekitar pasar Chow Kit.
Orang kaya penggila Audi dan Ferrari segera menambah: “Lebih ketara, sebaik saja Azmin menafikan terbabit dan Biro Politik PKR mengumumkan tiada tindakan terhadap Azmin pada 12 Jun, keluar lagi video susulan.
“Itu tanda memang ada niat jahat mahukan Azmin musnah!
“Depa ingat keluar saja video itu, Azmin akan undur diri,” kata rakan kami yang jarang hadir kerana sibuk dengan lori sewanya.
Ini naratif paling kuat dalam perbualan orang awam di ceruk mana pun. Secara umum, penularan video seks itu dilihat sebagai: konspirasi dalaman PKR sendiri untuk memusnahkan masa depan Azmin.
Orang awam lebih suka mengaitkan: Azmin perlu dimusnahkan kerana dia saingan Anwar.
Orang awam faham, kemenangan Azmin sebagai timbalan presiden PKR dalam pemilihan lalu, mengukuhkan pengaruhnya.
Orang faham, 80% orang Azmin menang jawatan penting dalam hampir semua kerusi utama parti. Itu antara kekuatan Azmin yang ditakuti musuh dalam partinya.
Malah, orang awam juga percaya, perdana menteri Dr Mahathir ada kecenderungan “menyokong Azmin”.
Malah, orang awam memang yakin: janji “peralihan kuasa Dr Mahathir kepada Anwar”, bukan janji mutlak.
Rakyat yang dimatangkan politik komplikated di negara ini sejak dua dekad lalu, sudah faham benar: janji politik dibuat atas nama kepentingan politik. Apabila kepentingan berubah, janji juga boleh diubah.
Konspirasi dalaman
Pada Ahad 15 Jun lalu, Azmin secara terbuka mengaitkan sebaran video yang mengaitkan dirinya sebagai pelaku aksi seks itu, ada hubungan dengan partinya sendiri.
Berikut kenyataan Azmin:
“Kumpulan WhatsApp (yang menyebarkan video itu) mengandungi semua nombor kontak pemimpin cabang dan juga pemegang jawatan lebih rendah pada peringkat cabang (PKR).
“Saya tidak ada akses terhadap maklumat sedemikian. Jadi soalannya sekarang, siapa yang menyediakan maklumat ini dan siapa yang menubuhkan kumpulan WhatsApp ini?
“Terdapat kumpulan (WhatsApp) untuk Sabah, satu kumpulan untuk Sarawak dan satu lagi untuk Semenanjung, jadi ini memerlukan penjelasan kepimpinan.”
Rakyat akan terus menanti. Apa pun cakap orang politik, rakyat tidak semuanya naif dan akan percaya bulat-bulat. Era fikiran rakyat boleh dipolitikkan sudah lama berlalu.
Dalam banyak hal, rakyat tahu apa berlaku. Mustahil kita orang Malaysia bodoh-bodoh belaka!
Hahahaha! – 19 Jun, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen