Gempa 6.4 landa Jepun, cetus tsunami kecil


Sekurang-kurangnya 16 cedera ringan, pihak berkuasa juga mengeluarkan amaran tanah runtuh kerana gempa. – Gambar AFP, 19 Jun, 2019.

GEMPA bumi kuat berukuran 6.4 melanda Jepun, mencetuskan nasihat tsunami yang kemudian dibatalkan, setakat hari ini tiada kerosakan besar dilaporkan dan hanya kecederaan kecil berlaku.

Agensi kaji cuaca negara itu semalam memberi amaran yang gelombang berukuran semester boleh melanda pesisir pantai Laut Jepun, utara Tokyo tetapi hanya beberapa gelombang kecil setinggi 10 sentimeter dilaporkan.

Amaran tsunami itu kemudiannya dibatalkan dua jam setengah selepas gempa.

Gempa direkodkan pada skala enam yang naik sehingga tujuh dirasai di ibu kota negara itu, yang terletak lebih 300 kilometer jauhnya daripada kawasan gempa.

Agensi Geologikal AS merekodkan gempa setinggi 6.4.

Perdana Menteri Shinzo Abde memberitahu wartawan yang kerajaan berada “pada tahap berjaga-jaga maksimum” untuk berdepan kemungkinan pelancaran operasi misi mencari dan menyelamat di kawasan itu dan memberi amaran kepada rakyat supaya bersedia berdepan gempa susulan.

Sekurang-kurangnya 16 orang cedera kerana gempa, kata pihak berkuasa kepada AFP.

Gempa itu melanda tengah malam di kawasan bertebaran penduduk dan kerja menilai kesan gempa mengambil masa.

Saluran berita NHK melaporkan kejadian penduduk merasai gegaran sehingga menggerakkan rak buku dan perabot mereka.

Perkhidmatan kereta api laju di kawasan dilanda gempa turut dihentikan serta merta, tetapi kembali beroperasi pagi ini, kata NHK lagi.

Manakala, ribuan rumah yang terputus bekalan sudah mendapat kembali bekalan elektrik pagi ini, lapor NHK.

Pegawai memberi amaran cuaca buruk di kawasan gempa boleh mencetuskan risiko tanah runtuh.

“Semua tapak jana nuklear tidak melaporkan perkara pelik,” kata jurucakap kerajaan Yoshihide Suga kepada wartawan semalam.

“Gegaran kuat mungkin berterusan,” Suga memberi amaran, menambah yang kerajaan akan terus memeriksa sebarang tanda kerosakan atau kecederaan.

Beberapa siri gegaran susulan dirasai selepas gempa utama.

Jepun terletak di atas “Lingkaran Api Pasifik”, kawasan rentan gempa bumi dan letupan gunung berapi.

Gempa kuat melanda utara Jepun September lepas menyebabkan tanah runtuh yang membunuh 44 orang.

Pada 11 Mac 2011, gempa kuat 9.0 berlaku di Lautan Pasifik, mencetuskan tsunami yang membunuh ribuan nyawa.

Pada 2004, gempa berukuran 6.8 berlaku di Niigata membunuh 68 orang.

Kawasan sama juga dilanda gempa 6.8 pada 2007 menyebabkan 15 orang terkorban. – AFP, 19 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen