Facebook perkenalkan mata wang digital global, Libra


Libra akan diuruskan oleh Persatuan Libra berpengkalan di Geneva disertai 28 organisasi termasuk Facebook untuk menggerakkan satu usaha global mata wang digital bagi merevolusi sistem kewangan global. – Gambar AFP, 19 Jun, 2019.

FACEBOOK semalam mengumumkan mata wang digital global dikenali sebagai Libra, berikrar untuk menyampaikan perkhidmatan mata wang digital yang lebih stabil.

Libra akan membolehkan lebih satu bilion manusia yang tidak mempunyai akaun bank menggunakan sistem kewangan.

Rancangan mata wang Libra, disokong oleh rakan kewangan dan organisasi tidak berkeuntungan merupakan inisiatif baharu rangkaian media sosial terbesar dunia itu yang berpotensi membawa masuk wang digital ke dalam pasaran ekonomi dunia.

Facebook dan berpuluh rakannya mendedahkan prototaip Libra sebagai sumber kod terbuka untuk pemaju yang berminat menggunakannya ke dalam aplikasi, perkhidmatan atau perniagaan sebelum pelancaran mata wang digital global itu tahun depan/

Persatuan Libra di Geneva akan menyelia mata wang tersebut, mengekalkan rizab aset semasa dunia nyata untuk mengekalkan kestabilan nilainya.

Manakala, Dante Disparte pula berkata ia akan menawarkan perkhidmatan perbankan dan kewangan dalam talian dengan kos rendah kepada lebih satu bilion orang yang tidak mempunyai akaun bank atau menggunakan khidmat di luar sistem perbankan konvensional untuk hidup.

“Kami percaya jika anda beri orang akses kepada wang dan peluang pada kos terendah, seperti mana internet buat dengan aliran maklumat, anda boleh bentuk lebih kestabilan berbanding yang kita miliki hari ini,” kata ketua dasar dan komunikasi Disparte kepada AFP.

Facebook akan menjadi salah satu rakan dalam gabungan besar itu, tetapi ia juga akan mewujudkan dompet digitalnya sendiri dikenali sebagai Calibra.

“Kami melihatnya sebagai pelengkap kepada misi Facebook untuk menghubungkan orang di mana sahaja mereka berada; termasuklah membenarkan mereka untuk berdagang nilai,” kata Naib Presiden Operasi Calibra Tomer Barel kepada AFP.

“Ramai orang yang menggunakan Facebook berada di negara yang terdapat halangan untuk perbankan atau pinjaman.”

Tetapi, usaha terbaru itu juga membangkitkan persoalan bagaimana wang baharu itu akan dikawal selia.

Menteri Kewangan Perancis Bruno Le Maire berkata mata wang digital sebegitu tidak seharusnya menggantikan mata wang negara berdaulat.

“Aspek kedaulatan akan terus berada di tangan negara dan bukan syarikat persendirian yang bertindak atas kepentingan peribadi,” kata Le Maire kepada radio Europe 1.

Gabenor Bank of England Mark Carney pula berkata mata wang digital Facebook itu perlu diteliti soal operasinya dan tidak boleh dibenarkan digunakan untuk pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan.

Persatuan Libra dilancarkan dengan 28 ahli termasuk Mastercard, Visa, Stripe, Kiva, PayPal, Lyft, Uber dan Women’s World Banking.

Calibra pula dibina dalam Messenger dan WhatsApp oleh Facebook dengan matlamatnya membenarkan pengguna menghantar Libra semudah menghantar mesej pesanan ringkas.

Libra belajar daripada pelbagai mata wang digital sebelum ini seperti bitcoin dan direka untuk mengelak penilaian luar jangka yang menyebabkan spekulasi sehingga runtuh.

Mata wang semasa akan menjadi rizab untuk menyokong mata wang digital itu, nilainya akan mencerminkan nilai mata wang stabil seperti dolar AS dan euro, menurut pengasasnya.

“Ia disokong oleh rizab aset yang memastikan utility dan keganasan pasaran yang rendah,” kata Barel.

Hanya Persatuan Libra akan boleh “melombong atau membakar” mata wang digital itu, mengekalkan bekalan selari dengan permintaan dan aset dalam rizab, menurut Barel lagi.

Pelancaran itu berlaku ketika Facebook berusaha menjarakkan diri daripada skandal privasi dan perlindungan data yang mencemarkan imejnya dan mencetuskan siasatan pihak berkuasa seluruh dunia.

Dompet digital Calibra akan membolehkan Facebook membina perkhidmatan kewangan, meluaskan pasaran dagang dan membenarkan lebih banyak perniagaan kecil membeli iklan dalam rangkaian media sosial itu.

Facebook berkata mereka tidak akan meraih untung menerusi Libra atau Calibra tetapi meneroka “pemanduan adaptasi dan skala” sebelum meneroka kaedah mencari untung sistem baharu itu.

Maklumat kewangan di Calibra akan dipisahkan daripada data sosial di Facebook dan tidak akan digunakan dalam iklan bersasar, kata Naib Presiden Produk Calibra Kevin Weil kepada AFP.

Libra akan menjadi mata wang terselia, tertakluk kepada undang-undang tempatan dalam pasaran berkaitan penipuan, untuk mengelak pengubahan wang haram dan pelbagai jenayah lain, kata Weil lagi. – AFP, 19 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen