5 tahun berlalu, kesan bah besar masih terasa di Kuala Krai


Ragananthini Vethasalam

Motosikal rosak, dan kesan air banjir 2014 masih dikesan di sebuah rumah di Kampung Gong Genor, Kuala Krai Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Jun, 2019.

PENDUDUK di Kuala Krai, Kelantan, salah sebuah daerah paling teruk terjejas ketika bah besar 2014 yang melanda negeri itu, masih dalam usaha membina semula kehidupan mereka walaupun sudah lima tahun bencana buruk itu berlaku.

Mengenang semula ketakutan mereka ketika air mula naik sehingga ia memusnahkan rumah mereka sekelip mata itu, penduduk berkata kebimbangan tragedi berulang masih ada.

Mereka juga merungut tidak banyak bantuan disalurkan kerajaan negeri bagi mengurangkan beban mereka.

Katanya, walaupun perkampungan lain yang lebih besar mendapat bantuan kewangan dan bantuan lain yang lebih baik daripada kerajaan negeri pimpinan PAS, kampung pendalaman mereka malangnya dipinggirkan.

“Mungkinlah ada sebarang bentuk bantuan kewangan, mungkin kampung besar lain ada dapat,” kata Mohd Hasri dari Kampung Gong Tenor kepada The Malaysian Insight.

“Kami agak jauh di pendalaman dan susah dihubungi, jadi kami tak terima banyak pertolongan,” katanya.

Menurutnya lagi, kampungnya itu masih terdedah kepada bencana banjir dan wujud keperluan untuk rancangan mitigasi banjir dilakukan di situ.

Hasri berkata saudara maranya dari Kampung Bedal, salah sebuah perkampungan paling teruk terjejas menumpang sementara di rumahnya ketika banjir.

Bagaimanapun, Kampung Gong Genor tidak terkecuali daripada turut terkena tempias banjir yang dianggap terburuk pernah berlaku dalam sejarah Malaysia itu.

Mengenang kembali pengalamannya ketika banjir 2014, Hasri berkata tahap air meningkat setinggi pintu masuk rumah kampungnya.

Mohd Hasri dari Kampung Gong Tenor berkata mereka tidak dapat bantuan kewangan seperti kampung lain mungkin kerana kedudukan kampung yang jauh di pendalaman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Jun, 2019.

“Ambil masa seminggu untuk air surut. Beberapa peralatan elektrik seperti mesin basuh dan mesin rumput rosak.

“Memandangkan kampung kami jauh ke pendalaman berbanding yang lain, kami tak terima sebarang bantuan ketika bencana,” katanya menambah penduduk kampung terpaksa mencari jalan sendiri untuk terus hidup.

Sementara itu, Romazi dari Kampung Bukit Pagar pula berkata walaupun kampungnya tidak dilanda banjir, ia terputus hubungan terus daripada kawasan lain kerana bencana itu.

“Kami hidup dua bulan tanpa elektrik.

“Kami terpaksa bergantung kepada lilin dan pelita untuk hidu,” kata seorang lagi penduduk dikenali sebagai Ismail.

Kampung itu terletak di kawasan berbukit, yang kawasan sekitarnya dilanda banjir.

Romazi berkata penduduk tidak ada akses kepada sumber makanan berminggu lamanya dan terpaksa bergantung kepada sumbangan sukarelawan.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada situasi sudah banyak berubah sejak banjir berlaku.

Selepas bencana banjir itu, masalah bekalan air bersih adalah masalah utama dihadapi penduduk di pendalaman Kuala Krai.

Ramai antara mereka yang terpaksa bergantung kepada bantuan NGO dan kumpulan masyarakat sivil untuknya.

Banjir besar yang berlaku pada Disember 2014 itu hampir menenggelamkan kawasan Sungai Galas, Sungai Lebir, Sungai Nenggiri dan Sungai Kelantan apabila air naik melimpah daripada tebing sungai itu.

Lebih 150,000 orang terpaksa dipindahkan di Kelantan sahaja, dengan Kuala Krai adalah salah sebuah daerah paling teruk terjejas. – 19 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen