Pyongyang puji rejim sendiri guna filem Korea Selatan


Suasana di stesen kereta api bawah tanah di Pyongyang. Korea Utara menggunakan filem "Parasite" yang memaparkan jurang antara golongan kaya dan miskin di Korea Selatan untuk memuji rejimnya. – Gambar AFP, 18 Jun, 2019.

KOREA Utara menggunakan sebuah filem dari Korea Selatan yang menerima anugerah di pesta filem antarabangsa untuk mendakwa bahawa kehidupan rakyatnya jauh lebih baik berbanding di negara jirannya itu.

Filem “Parasite” memaparkan jurang antara golongan kaya dan miskin di Korea Selatan, merupakan filem pertama dari negara itu yang menerima anugerah Palme d’Or di Pesta Filem Cannes, bulan lepas. Ia adalah anugerah tertinggi dalam pesta filem berprestij itu.

“Filem ini sangat popular di Korea Selatan dan memberitahu bahawa masyarakat kapitalisme adalah rosak di mana wujud jurang sangat ketara antara orang kaya dan miskin serta golongan yang mempunyai masa depan atau tidak,” menurut ruangan editorial laman web propaganda Korea Utara, DPRK Today.

Ruangan itu juga berkata, filem tersebut memaparkan realiti kehidupan di tingkat bawah tanah pangsapuri yang bergelumang dengan bau hapak, tanpa capaian internet dan dibanjiri air kumbahan apabila hari hujan.

“Sebaliknya, orang kagum dan cemburu dengan Korea Utara kerana semua orang di negara ini melalui kehidupan yang sama dan adil.”

Realitinya, Korea Utara mengamalkan sistem yang dipanggil “songbun” yang memberi ganjaran kepada individu yang setia kepada rejim. Sistem ini menyebabkan kehidupan dan peluang yang dinikmati di kalangan rakyatnya jauh berbeza.

Negara yang dikenakan beberapa sekatan kerana senjata nuklear dan program peluru berpandunya turut mengalami kekurangan makanan. Hasil tanaman di Korea Utara sepanjang sedekad lalu begitu teruk, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mengikut statistik terkini di Seoul, purata pendapatan rakyat Korea Utara pada 2017 adalah kira-kira empat peratus daripada pendapatan rakyat Korea Selatan.

Filem “Parasite” turut menampilkan watak yang meniru seorang penyampai berita Korea Utara, tetapi pengarahnya berkata adegan tersebut lebih menjurus kepada jenaka dan tidak harus dinilai sebagai kritikan terhadap Pyongyang. – AFP, 18 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen