POLIS Turki hari ini memburu 168 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan yang didakwa menjadi dalang cubaan rampasan kuasa pada 2016, lapor media tempatan.
Operasi serbuan secara besar-besaran dilakukan di seluruh negara untuk menahan individu terbabit.
Sejak cubaan untuk menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan itu gagal, pihak berkuasa telah menahan berpuluh ribu orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan yang dipimpin oleh pendakwah Islam yang berpengkalan di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen.
Turki menuduh cubaan itu dilakukan atas arahan Gulen, tetapi dinafikan pendakwah itu.
Pendakwa raya Izmir di wilayah Aegean mengeluarkan waran tangkapan ke atas 65 suspek di 30 wilayah termasuk seorang pegawai tentera berpangkat kolonel dan leftenan. Tangkapan dibuat untuk membantu siasatan mengenai pergerakan di dalam angkatan tentera, kata agensi berita Anadolu.
Menurut agensi tersebut, seramai 22 lagi suspek ditahan oleh polis. Ada antara mereka dituduh menggunakan aplikasi penghantaran mesej rahsia yang disyaki juga digunakan untuk menyelaraskan cubaan rampasan kuasa 2016 itu.
Di sebuah wilayah lain di Turki tengah pula, pendakwa raya Konya mengeluarkan waran tangkapan terhadap 63 orang, termasuk 30 anggota tentera, tambah laporan Anadolu.
Sejak 2016, lebih daripada 140,000 penjawat awam dipecat atau disyaki mempunyai hubungan dengan Gulen.
Pihak berkuasa Turki menegaskan serbuan perlu dilakukan untuk menghapuskan pengaruh Gulen di semua institusi di negara itu. – AFP, 18 Jun, 2019.
Komen