Polis mungkin panggil lebih ramai ahli PKR untuk siasatan video seks


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata ia bergantung kepada keperluan siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2019.

POLIS mungkin akan memanggil lebih ramai ahli PKR untuk membantu siasatan video seks didakwa melibatkan Azmin Ali dan Haziq Abdullah Aziz, kata Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor.

“Jika diperlukan kami akan memanggil mereka yang diperlukan untuk membantu siasatan. Biar kami teliti dahulu hal ini,” katanya hari ini.

Beliau juga mengesahkan polis sudah mengambil keterangan Azmin yang juga timbalan presiden PKR itu semalam, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

“Dia dipanggil semalam tetapi saya tak boleh dedahkan maklumat lain,” tambahnya.

Pagi tadi, peguam Azmin, N Surendran memberitahu menteri hal ehwal ekonomi itu sudah memberikan keterangan kepada polis berkaitan video seks yang tular didakwa melibatkannya.

Haziq minggu lepas mendakwa beliau dan Azmin adalah dua lelaki dalam video seks yang tular itu.

Susulan pengakuan itu, Haziq digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin sementara menunggu siasatan. Beliau ditahan polis di KLIA ketika menunggu penerbangan ke Manila pada Jumaat lalu.

Beliau dibebaskan pada Sabtu.

Azmin sudah menafikan tuduhan Haziq, menyifatkannya sebagai usaha jahat dan kejam merosakkan kerjaya politiknya dan mengarahkan peguamnya bertindak.

Setiausaha Politiknya Hilman Idham pula sudah membuat dua laporan polis mengenai skandal itu.

Semalam, Mazlan berkata polis menerima 17 laporan mengenai video seks yang tular menerusi WhatsApp sejak Selasa lalu, mereka juga sudah mengambil 21 keterangan untuk siasatan mengenainya. – 18 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen