BEKAS presiden Mesir, Mohamed Morsi yang meninggal dunia semalam selamat dikebumikan hari ini.
Satu-satunya presiden Mesir yang dipilih secara demokratik itu dikebumikan di Kaherah, menurut peguamnya.
“Beliau dikebumikan di Medinat Nasr, di timur Kaherah, dan dihadiri oleh ahli keluarganya,” kata salah seorang peguamnya, Abdel Moneim Abdel Maksoud.
Kumpulan hak asasi menggesa satu siasatan bebas bagi dijalankan bagi menyiasat kematian Morsi yang disingkirkan pada 2013 selepas setahun memegang jawatan.
Stesen televisyen tempatan berkata Morsi, 67, meninggal dunia akibat serangan jantung.
Menurut sumber mahkamah, Morsi pengsan pada waktu rehat ketika perbicaraannya semalam.
“Beliau pengsan dan dibawa ke hospital di mana kemudiannya disahkan sudah meninggal dunia,” kata sumber.
Kali terakhir Morsi bertemu keluarganya ialah pada September tahun lalu. Sebulan kemudian, anaknya, Abdallah ditahan.
Abdel Moneim adalah peguamnya yang terakhir melawatnya pada November 2017.
Sejak Morsi digulingkan pada 3 Julai 2013, Presiden Abdel Fattah al-Sisi melancarkan tindakan keras terhadap ribuan penyokong Ikhwanul Muslimin yang dipimpinnya. Beribu orang dipenjarakan, manakala ratusan lagi dikenakan hukuman mati.
Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di bawah Ikhwanul Muslimin menuduh pihak berkuasa Mesir sengaja membunuh Morsi dengan perlahan. – AFP, 18 Jun, 2019.
Komen