PBB kutuk Boko Haram guna kanak-kanak sebagai 'bom manusia'


Unicef mengutuk penggunaan kanak-kanak sebagai bom manusia dan memainkan peranan sama ada berbentuk pertempuran atau bukan pertempuran dalam konflik di timur laut Nigeria. – Gambar EPA, 18 Jun, 2019.

TABUNG Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada Isnin mengutuk penggunaan kanak-kanak sebagai pengebom bunuh diri oleh kumpulan pengganas Boko Haram di timur laut Nigeria, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan agensi itu.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki di bawah umur meletupkan diri mereka di sebuah pusat menonton perlawanan bola sepak komuniti di kawasan Konduga dalam negeri Borno - yang merupakan pusat pemberontakan selama 10 tahun.

Insiden itu menyebabkan sekurang-kurangnya 30 orang maut manakala 40 lagi cedera.

“Unicef mengutuk penggunaan kanak-kanak sebagai bom manusia dan memainkan peranan sama ada berbentuk pertempuran atau bukan pertempuran dalam konflik di timur laut Nigeria,” menurut kenyataan agensi itu.

“Tidak boleh diterima bahawa kanak-kanak harus digunakan dengan cara ini. Unicef merayu kepada semua yang terlibat dalam konflik yang dahsyat ini agar melindungi kanak-kanak pada setiap masa dan menjauhkan mereka daripada bahaya.”

Unicef berkata insiden itu telah menjadikan jumlah kanak-kanak yang digunakan sebagai bom manusia tahun ini adalah lima orang. Pada 2018, 48 kanak-kanak terkorban sebagai pengebom bunuh diri manakala lebih 83 kanak-kanak mengalami nasib serupa pada 2017.

“Kami sekali lagi menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik di timur laut Nigeria agar segera menghentikan serangan terhadap orang awam, berhenti menggunakan kanak-kanak dalam konflik ini dan mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya. – Bernama, 18 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen