AMERIKA Syarikat (AS) akan menghantar 1,000 askar tambahan ke Timur Tengah bagi “tujuan pertahanan,” lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pemangku Setiausaha Pertahanan Patrick Shanahan pada Isnin.
Keputusan itu dibuat sebagai respons kepada permintaan Komando Pusat AS (Centcom) dan nasihat Pengerusi Ketua Turus Bersama serta rundingan dengan Rumah Putih, kata Shanahan.
“Saya telah memberi kelulusan untuk menghantar kira-kira 1,000 askar tambahan bagi tujuan pertahanan dalam menangani ancaman udara, laut dan darat di Timur Tengah,” menurut beliau dalam satu kenyataan.
Keputusan itu juga dibuat susulan serangan ke atas dua kapal tangki minyak minggu lepas di Teluk Oman berhampiran Selat Hormuz. Washington mendakwa Iran adalah dalang di sebalik serangan itu namun disangkal oleh Tehran.
“Serangan Iran baru-baru ini membuktikan bahawa maklumat yang kami terima berhubung tingkah laku permusuhan di pihak Iran dan kumpulan proksi mereka yang mengancam kakitangan serta kepentingan Amerika Syarikat di seluruh rantau itu adalah boleh dipercayai,” kata Shanahan.
Ketegangan memuncak antara AS dan Iran sejak tahun lepas apabila AS secara unilateral menarik diri daripada satu pakatan nuklear antara Republik Islam itu dengan lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta Jerman.
Pentadbiran Presiden Donald Trump telah mengambil beberapa tindakan yang bertujuan menjejaskan perjanjian itu, termasuk mengenakan semula sekatan ke atas minyak Iran.
Sebagai respons, Tehran berikrar untuk terus mengeksport minyak meskipun berdepan sekatan AS dan mengancam untuk menutup Selat Hormuz jika ia dihalang daripada menggunakan laluan air strategik.
“Amerika Syarikat tidak berhasrat untuk mencari pasal dengan Iran,” kata Shanahan dan mempertahan langkah yang diambil pada Isnin bagi melindungi kakitangan dan kepentingan Amerika di rantau itu.
“Kami akan terus memantau situasi itu dengan rapat dan melakukan penyelarasan jumlah askar yang diperlukan berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai berkaitan ancaman yang dihadapi,” katanya. – Bernama, 18 Jun, 2019
Komen