Morsi, presiden Mesir diguling, mati di mahkamah


Bekas presiden Mesir, Mohamed Morsi meninggal dunia ketika perbicaraan di mahkamah semalam selepas enam tahun digulingkan dan dipenjarakan pada 2013. – Gambar EPA, 18 Jun, 2019.

Bekas presiden Mesir, Mohamed Morsi meninggal dunia ketika perbicaraan di mahkamah semalam selepas enam tahun digulingkan dan dipenjarakan pada 2013.

Presiden pertama dan terakhir yang dilantik melalui demokrasi di Mesir itu rebah dan pengsan sebelum meninggal dunia.

Pendakwa raya Mesir berkata, Morsi, 67, disahkan meninggal dunia ketika tiba di sebuah hospital di Kaherah selepas pengsan di mahkamah.

Nabil Sadiq berkata, punca kematian sedang disiasat tetapi tidak ada sebarang kecederaan luaran dilihat pada tubuh si mati.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berang dengan berita kematian Morsi.

Menurutnya, sejarah tidak akan melupakan mereka yang menyebabkan kematian bekas presiden itu yang dipenjara dan diancam dengan hukuman mati.

Morsi memimpin Jemaah Ikhwan Muslimin melalui Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) telah memenangi pilihan raya presiden pada Jun 2012.

Namun pada 2013 beliau ditahan dan berdepan tiga perbicaraan atas tuduhan iaitu membocorkan rahsia negara ke Qatar, membunuh penunjuk perasaan perasaan dan mengintip untuk Hamas.

Sementara organisasi dimiliki beliau Ikhwanul Muslimin telah diharamkan.

Beliau menerima hukuman yang panjang termasuk hukuman mati dan penjara 20 tahun.

Morsi juga dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun bersama 19 yang lain atas tuduhan menghina badan kehakiman.

Pada 2018 Morsi dilaporkan dikurung bersendirian selama 23 jam sehari dan hanya dibenarkan bersenam selama sejam.

Bekas presiden yang mempunyai masalah kesihatan termasuk kencing manis dan penyakit hati serta buah pinggang turut dilaporkan tidak menerima rawatan perubatan diperlukan. – 18 Jun, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen