Penglibatan penduduk kampung jimatkan kos bina sistem bekalan air


Ragananthini Vethasalam

Mercy Malaysia dengan kerjasama Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (Bakas) telah mencipta sistem suapan graviti dan membina paip air untuk disalurkan ke rumah penduduk Kampung Gertak Kangkong di Kuala Krai, Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Jun, 2019.

PENDUDUK di sebuah kampung terpencil di Kuala Krai, Kelantan menerima bantuan bekalan air bersih menerusi sistem suapan graviti yang terbukti berkesan dengan penjimatan kos sebanyak 30 peratus.

Selama bertahun-tahun, penduduk di Kampung Gertak Kangkong tidak mendapat bekalan air sempurna meskipun terdapat sebuah sungai berhampiran.

Sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menyalurkan bantuan perubatan dan kemanusiaan kepada masyarakat iaitu Mercy Malaysia, dengan kerjasama Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (Bakas) telah mencipta sistem suapan graviti dan membina paip air untuk disalurkan ke rumah penduduk.

Projek pembinaan itu dibiayai oleh Maybank Islamic Berhad di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Juruukur bahan, Yusof Hashim yang terlibat dengan pasukan Mercy Malaysia berkata, mereka menyediakan bahan-bahan yang diperlukan sementara kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh penduduk kampung.

“Kalau projek itu diberi kepada kontraktor lain, kosnya boleh mencecah lebih daripada RM100,000.

“Dengan bantuan penduduk kampung, ia dapat disiapkan dengan kos sebanyak RM70,000,” kata Yusof.

Dengan bantuan tenaga penduduk kampung, projek bekalan air di Kampung Gertak Kangkong di Kuala Krai, Kelantan dapat disiapkan dengan kos sebanyak RM70,000, kata juruukur bahan, Yusof Hashim yang terlibat dengan pasukan Mercy Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Jun, 2019.

Projek tersebut siap dalam tempoh lima minggu, dua hari sebelum Ramadan.

Salah seorang penduduk yang terlibat dalam projek itu, Mazlan Mustapa berkata projek melibatkan kira-kira 100 penduduk Kampung Gertak Kangkong.

“Cabarannya dah tentu dari segi kewangan,” katanya sambil melahirkan gembira dan bersyukur kerana penduduk kampung kini mendapat bekalan air bersih.

Selain itu, kawasan yang berbukit juga memberi cabaran ketika pembinaan dimulakan, kata seorang lagi penduduk, Mohd Nor Hafiz Mohd Nordin.

Ada di sesetengah tempat penduduk terpaksa berjalan kaki untuk membawa bahan binaan kerana sukar untuk dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda. – 18 Jun, 2019.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen