Polis Thailand tahan suspek kejadian tembak di Yala


POLIS Thailand menahan seorang pegawai sukarelawan pertahanan awam untuk membantu siasatan beberapa kes menembak di Yala.

Media tempatan melaporkan bahawa pegawai yang dikenali sebagai Hakim Derasek, 31, ditahan di rumahnya di Pekan Yala dalam satu operasi pada minggu lepas.

Hakim disyaki terlibat dalam kes menembak mati isteri ketua kampung tempat 4 mukim Benar Setar dan mencederakan tiga yang lain – suami mangsa dan dua anak perempuannya yang dalam perjalanan pulang ke rumah untuk berbuka puasa, dalam kejadian pada 9 Mei lalu.   

Polis turut merampas selaras senapang M16 dan juga sepucuk pistol. Suspek kini ditahan untuk soal siasat.

Dalam operasi yang bermula pada 13 Jun lalu, polis juga menahan seorang lelaki di Kg Wad, Yarang, Pattani disyaki terlibat dalam kejadian menembak itu untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Wilayah Yala, Mejar Jeneral Polis Kerisada Keawjandi berkata Hakim juga disyaki terlibat dalam insiden menembak mati seorang ketua presiden Majlis Pentadbiran Mukim Tha Thong di Daerah Raman, Yala ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berbuka puasa bersama ahli keluarga pada 22 Mei lalu,

Kerisada berkata operasi dijalankan secara sulit berikutan Hakim merupakan seorang pegawai dan mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa.

Beliau berkata Hakim juga disyaki terlibat dalam beberapa kes tembakan di kawasan Benan Setar di Yala.

“Pihak polis juga sedang menjejaki beberapa individu lain yang disyaki terlibat bersama dalam kes-kes menembak ini,” katanya kepada pemberita di Yala. 

Media tempatan melaporkan bahawa Hakim merupakan bekas anggota sayap tentera Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Beliau keluar dari BRN dan menjadi sukarelawan untuk memburu pejuang-pejuang di kawasan Benan Setar dan ramai telah ditahan oleh pasukan yang dipimpinnya.

Sebelum ini, Hakim terselamat dalam beberapa insiden menembak dan letupan bom yang dilancarkan anggota pejuang bersenjata. – Bernama, 17 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen