ISTERI bekas ketua Nissan, Carlos Ghosn hari ini meminta bantuan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendesak Jepun mengenai perbicaraan adil, pada sidang kemuncak G20 di Osaka, akhir bulan ini.
Ghosn, 65, kini sedang menunggu perbicaraan di Jepun atas dakwaan gagal melaporkan pendapatannya ketika mengetuai Nissan dan menggunakan dana syarikat untuk tujuan peribadi. Beliau menafikan tuduhan tersebut.
“Pemimpin dunia akan mengadakan pertemuan di G20 akhir bulan ini,” kata Carole Ghosn dalam satu wawancara bersama BBC, hari ini.
“Saya harap Presiden Trump dapat bercakap dengan Perdana Menteri (Shinzo) Abe mengenai perbicaraan yang adil dan membenarkan saya bercakap dengan suami saya, serta menghormati prinsip anggapan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.”
Tambah beliau, kali terakhir melihat suaminya ialah pada 4 April lalu ketika pendakwa menyerbu rumah mereka.
Carlos Ghosn, rakyat Perancis, dibebaskan di Jepun pada April dengan ikat jamin AS$4.5 juta tetapi dikenakan syarat ketat termasuk tidak dibenarkan bertemu isterinya.
Di bawah syarat itu, Ghosn dilarang meninggalkan Jepun dan tinggal di sebuah rumah yang dipantau dengan kamera.
Sidang kemuncak G20 di Osaka akan diadakan pada 28 hingga 29 Jun ini. – AFP, 17 Jun, 2019.
Komen