Korea Selatan mahu basmi semula malaria menjelang 2021


Di bawah rancangan lima tahun, Seoul berhasrat mengurangkan kes-kes malaria domestik kepada sifar pada tarikh sasaran dan mengekalkannya selama tiga tahun berturut-turut. – Gambar AFP, 17 Jun, 2019.

KOREA Selatan berhasrat membasmi semula malaria menjelang 2021 dan meraih pengesahan antarabangsa sebagai negara bebas daripada penyakit berjangkit akibat nyamuk, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC) pada Isnin.

Di bawah rancangan lima tahun, Seoul berhasrat mengurangkan kes-kes malaria domestik kepada sifar pada tarikh sasaran dan mengekalkannya selama tiga tahun berturut-turut.

“Sekiranya tiada kes malaria tempatan yang dikesan sepanjang tahun 2023, negara boleh meraih akreditasi bebas malaria daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun berikutnya,” menurut KCDC.

Mereka yang menghidap malaria dari luar negara dan didiagnosis dengan penyakit itu dalam negara tidak dikira sebagai wabak domestik.

Dorongan bagi menangani malaria dibuat memandangkan Korea Selatan berada di kedudukan teratas dari segi kes yang dilaporkan dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Negara itu mengisytiharkan bahawa ia bebas malaria pada 1979, namun satu kes baharu telah dikesan pada 1993.

Pada 2018, sejumlah 576 orang telah didiagnosis dengan malaria - bersamaan dengan seorang dalam 10,000 yang jatuh sakit, lebih tinggi berbanding kadar 0.6 dalam 10, 000 di Mexico.

Daripada semua kes yang dikesan, 89 peratus adalah mereka yang tinggal berhampiran zon bebas tentera (DMZ) yang bersempadan dengan Korea Utara.

KCDC berkata bagi membasmi malaria sepenuhnya, ia akan mempertingkat usaha pemantauan dan kawalan serangga perosak.

Ia juga akan mengadakan penyelidikan bersama dengan Korea Utara dan memudahkan pertukaran maklumat.

Selain itu, lebih banyak usaha akan dilakukan bagi mengesan dan merawat mereka yang dijangkiti penyakit tersebut, menurut KCDC. – Bernama, 17 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen