Huawei kurangkan pengeluaran bagi 2019/2020, kata pengasas


Dalam tempoh dua tahun akan datang, Huawei akan mengurangkan pengeluaran sebanyak AS$30 bilion, kata pengasasnya, Ren Zhengfei. – Gambar EPA, 17 Jun, 2019.

PENGASAS Huawei hari ini berkata syarikat gergasi telekomunikasi China itu akan mengurangkan pengeluarannya dalam tempoh dua tahun akan datang susulan usaha  pengharaman oleh Amerika Syarikat (AS) di peringkat antarabangsa.

“Dalam tempoh dua tahun akan datang, syarikat akan mengurangkan pengeluaran sebanyak AS$30 bilion,” kata Ren Zhengfei pada perbincangan bersama panel di ibu pejabat korporat di Shenzhen.

Huawei memproleh pendapatan melebihi AS$100 bilion pada 2018.

Bagaimanapun, Ren berkata beliau menjangkakan syarikat akan kembali ke trajektori asal pada 2021.

“Pada 2021, kami akan kembali mengukuh dan (terus) menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.

Pentadbiran Presiden Donald Trump mengharamkan Huawei dari pasaran AS dan melarang syarikat teknologi negara itu membekalkan komponen penting kepada China tanpa kebenaran Washington.

Washington bimbang sistem yang dibina Huawei akan digunakan oleh kerajaan China untuk pengintipan.

Pentadbiran Trump juga menggesa negara lain mengharamkan peralatan Huawei digunakan dalam rangkaian telekomunikasi mereka, terutamanya dalam rangkaian 5G. 

Kempen AS itu mendorong beberapa syarikat teknologi utama termasuk pembekal semi konduktor utama serta platform seperti Facebook dan Google untuk tidak bekerjasama degan Huawei. – AFP, 17 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen