Peniaga tuntut pegawai MBPJ disiasat kes kutip rasuah


Diyana Ibrahim

Adun Sungai Pelek Ronnie Liu yang mewakili peniaga terbabit membuat laporan di pejabat SPRM Shah Alam hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Jun, 2019

SEKUMPULAN peniaga di sebuah pusat membeli belah mendesak penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) disiasat kerana didakwa mengutip rasuah daripada mereka.

Kumpulan peniaga itu mendakwa, penguatkuasa berkenaan mengutip bayaran antara RM100 hingga RM200 dari setiap seorang untuk mengelak mereka dikenakan tindakan bagi kesalahan menampal iklan.

Adun Sungai Pelek Ronnie Liu yang mewakili peniaga berkenaan berkata kutipan wang oleh penguatkuasa tersebut pada hujung bulan lalu berjaya dirakam.

Dakwanya dua orang pegawai PBT itu muncul, pada pada 30 Mei dan memberi amaran kepada peniaga tersebut mengenai satu operasi kesalahan menampal yang akan diadakan.

Pegawai itu seterusnya menawarkan kepada peniaga tersebut untuk membayar antara RM100 hingga RM200 setiap orang untuk mengelak disaman, katanya.

Namun tiada seorang pun peniaga yang membayar kepada pegawai tersebut sehinggalah pada hari operasi esoknya, katanya.

“Jadi masa operasi pegawai itu datang kepada peniaga, mereka kata ‘kalau tak mahu kena saman anda boleh bayar kepada kami.

“Jadi dalam ramai-ramai ini ada empat peniaga bayar kepada pegawai MBPJ kerana mereka takut kena saman sebanyak RM1,000,” katanya kepada media di hadapan bangunan SPRM di Shah Alam.

Rakaman video kamera litar tertutup menunjukkan peniaga memberikan duit yang diselit dalam kertas kepada seorang pegawai MBPJ yang tular dalam laman Facebook.

Aduan dibuat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Shah Alam hari ini selepas empat orang peniaga tersebut menemuinya untuk meminta tolong, katanya.

Jelasnya, penguatkuasa terbabit berjaya mengaut wang itu dengan mengambil kesempatan ke atas undang-undang kecil MBPJ mengenai pemasangan iklan di premis perniagaan.

Katanya undang-undang kecil itu memberi kuasa mengecualikan peraturan membuat permohonan untuk menampal iklan tetapi ia hanya bagi kes tertentu.

“Saya beri peringatan biarpun PBT ada kuasa di bawah undang-undang kecil tapi tengok keadaan. Kadang-kadang iklan itu cuma ada tempoh tertentu macam iklan promosi Hari Bapa.

“Dan dalam pusat beli, macam mana mereka (peniaga) hendak mohon permit, sepatutnya PBT boleh beri kelonggaran,” katanya.

Liu berkata, pihaknya akan membuat pertemuan dengan Datuk Bandar Petaling Jaya berhubung perkara tersebut.

Bekas exco Selangor itu juga berkata, kes seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan bimbang jika lebih ramai lagi peniaga diperas untuk memberi wang kepada penguatkuasa.

“Tapi ini anda (MBPJ) kuatkuasa undang-undang ini dan beri peluang kepada penguatkuasa tidak jujur.

“Naman Barisan Nasional tidak pernah jadi macam ini, zaman saya jadi exco pun tidak pernah berlaku,” katanya.

Dakwanya, kes sama turut dikesan berlaku di kawasan Ampang.

Sementara itu Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han berkata, tindakan telah diambil berhubung dakwaan tersebut.

Ng dalam satu kenyataan berkata, anggota penguatkuasa MPBJ terbabit diarahkan berhenti bertugas dan kini sedang disiasat.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan penglibatan SPRM untuk menyiasat  kes tersebut dan telah mengarahkan MBPJ  untuk memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada SPRM,” katanya. – 17 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen